Berita, Rencana

Wan Fayhsal gagal faham aspirasi orang muda

Kenyataan media oleh Nor Miswary Ramli, Setiausaha Politik kepada Hannah Yeoh bertarikh 10 Ogos 2020.

Ucapan oleh calon Ketua Pemuda Bersatu (ARMADA) Nasional, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang tular melalui sebuah video semalam mendakwa mahu menggunakan kedudukannya bagi mengeluarkan surat sokongan kepada kepada ahli-ahli BERSATU adalah sesuatu yang amat memalukan, menyalahi moral kepimpinan dan menghina intelektual anak muda.

Sungguhpun saya tak semuda beliau dan tidak mempunyai kedudukan seperti beliau, namun penyertaan saya ke dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) sejak 2012 hanya didorong untuk memberi khidmat kepada parti dan masyarakat. Saya dan rakan-rakan saya yang lain tidak menyertai parti politik untuk habuan jawatan dan tidak pula bercita-cita menggunakannya untuk mengukuhkan kedudukan.

Malang buat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang bukan sahaja terpaksa memungut para pengkhianat bagi membentuk Kerajaan pintu belakang, malah mempunyai seorang pemimpin muda seperti Wan Ahmad Fayhsal yang gagal memahami aspirasi orang muda hari ini yang mahu diberikan peluang berdasarkan keupayaan dan kemahiran tanpa perlu bergantung kepada surat sokongan ahli politik ataupun “kabel” politik.

Sudah tentu Malaysia memerlukan penglibatan lebih ramai anak muda dalam politik, namun bukanlah orang muda yang mempunyai sistem nilai seperti Wan Ahmad Fayhsal. — Roketkini.com