Berita, Rencana

DAP tetap di hati penyokong

Oleh Ghafar NS

Ramai yang terpana akan kehangatan sokongan dan solidariti yang ditunjukkan oleh para penyokong Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam beberapa hari ini.

Diam-diam ubi berisi.

Mereka ini tidak membuat bising, mengadu domba atau aktif mencaci maki di media sosial. Tetapi, apabila kesukaran tiba-tiba datang kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berduyun-duyun mereka datang menghulurkan sumbangan sebagai tanda solidariti dan kebersamaan.

Kempen “RM10 Solidariti bersama Lim Guan Eng” dilancarkan pada 7 Ogos 2020 bagi mengumpul dana untuk menampung kos ikat jamin bagi tiga pertuduhan yang dikenakan kepada beliau pada 7, 10 dan 11 Ogos 2020.

Pada 11 Ogos 2020, Setiausaha Publisti DAP, Tony Pua memaklumkan bahawa jumlah wang yang diterima hasil daripada kempen ini adalah sebanyak RM2.9 juta, tepat jam 12 tengah hari pada hari tersebut.

Ini mengejutkan banyak pihak kerana ramai yang tidak menyangka bahawa Guan Eng dan DAP masih tetap di hati para penyokong hingga berjaya mengumpul dana sebanyak itu pada hari kelima kempen ini dilancarkan.

Walaupun DAP sentiasa menjadi sasaran pihak lawan dan setiap hari menerima caci maki serta fitnah yang tidak berkesudahan, penyokong tetap setia membantu apabila diperlukan.

Ke mana wang lebihan pergi?

Lebihan sumbangan dana ini akan dimanfaatkan dalam perjuangan memulangkan semula mandat rakyat kepada DAP serta Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti atau ia akan digunakan untuk manfaat masyarakat yang memerlukan. Contohnya, lebihan sumbangan pernah didermakan untuk tujuan pendidikan pada tahun 2018.

DAP juga tidak memaksa sesiapa dalam memberikan sumbangan ini. Kempen ini dilancarkan bagi memastikan penyokong dan mereka yang ingin menunjukkan solidariti serta rasa kebersamaan dapat menyalurkan sumbangan mereka di saluran yang betul.

Mereka yang membenci parti ini pula dilihat gatal mulut menjaja di ruangan komen dan dimana-mana bahawa yang menyumbang dalam kempen ini hanyalah ‘Cina kaya-raya’ sahaja. Malah, ada yang siap hasilkan video menyatakan bahawa DAP resah tidak dapat membantu Guan Eng dalam pendakwaan mahkamahnya, sedangkan penyokong daripada pelbagai latar belakang kaum membantu memberi sumbangan lebih daripada yang sepatutnya!

Barangkali mereka ini tidak punya rasa setia dan kasih akan apa-apa yang mereka percaya, seperti yang ditunjukkan para penyokong DAP menerusi kempen solidariti untuk Setiausaha Agung DAP ini.

Sokongan dan solidariti bersama Guan Eng ini menjadi tanda kesetiaan penyokong-penyokong DAP yang tidak berpenghujung. — Roketkini.com