Berita, Rencana

Pengecutan KDNK suku ke-2 2020: Masih percaya kerajaan PN jaga anda?

Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 15 Ogos 2020

“Kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang anda memilih. Tetapi saya ingin anda semua tahu bahawa kerajaan ini adalah kerajaan yang menjaga anda”. Itu kata-kata dikeluarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pakej bantuan PRIHATIN pada 27 Mac lalu, 9 hari selepas bermula perintah kawalan pergerakan (PKP).

Semasa permulaan PKP, ramai orang bersedia memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, tapi sekarang setelah hampir enam bulan wujudnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN), keadaan nampaknya sudah kian berubah.

Lebih ramai yang meluahkan perasaan keraguan bahawa Kerajaan PN benar-benar “kerajaan yang menjaga anda.”

Mari kita tengok angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) Suku Kedua 2020 yang baru diumumkan. Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 17.1%.

Ini adalah prestasi terburuk negara antara negara-negara Asia dalam tempoh ini. Kita ambil Singapura, yang mengumumkan penutupan atau ‘pemutus litar’ pada 7 April, ‘hanya’ mengalami penguncupan 13.2%. Indonesia mengalami pengecutan 5.3%.

Kejatuhan KDNK suku tahun ini bahkan lebih tinggi daripada penguncupan 11.2% yang dialami pada suku keempat 1998, semasa kemuncak krisis kewangan Asia. Secara mutlak, KDNK pada Suku Kedua 2020 turun sebanyak RM59.6 bilion (perbandingan tahun ke tahun dengan suku kedua 2019).

Mengikut sektor:

  • Sektor pembuatan menguncup sebanyak RM14.5 bilion atau 18.4%
  • Sektor perlombongan menguncup sebanyak RM5.2 bilion atau 19.9%
  • Sektor perkhidmatan menguncup sebanyak RM32.3 bilion atau 16.2%

Penguncupan KDNK bersejarah ini menyebabkan Bank Negara Malaysia mengubah ramalan KDNK untuk tahun 2020 dari -2% ke 0.5% kepada ramalan yang terbaru iaitu dari -3.5% ke -5.5%.

Ramalan ini mungkin perlu dikemas kini apabila angka KDNK Suku Ketiga diumumkan pada 13 November 2020 nanti.

Pengecutan dapat dikurangkan

Pengecutan besar ini dapat dikurangkan jikalau kerajaan PN tidak tergesa-gesa mengumumkan PKP tanpa adanya pelan tersedia.

Laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) tidak boleh diakses untuk beberapa hari pertama PKP kerana ribuan syarikat membanjiri laman webnya untuk memohon kelulusan untuk terus beroperasi semasa PKP.

Kelewatan dalam mendapatkan kelulusan yang diperlukan memberi kesan negatif yang besar bagi syarikat yang beroperasi di sektor penting.

Tambahan lagi, tidak ada pertimbangan untuk memberikan kelulusan kepada kebanyakan pembekal kepada syarikat sektor penting.

Sebagai contoh, sebuah syarikat pengeluaran susu mengadu bahawa pembekal kotak dan botol mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan kelulusan daripada MITI.

Terdapat juga koordinasi yang kurang memuaskan antara Kementerian Pengangkutan, operator pelabuhan dan pengangkut yang menyebabkan kargo menumpu di pelabuhan utama di negara.

Ini kerana pengangkut tidak mempunyai kelulusan untuk mengangkut barang-barang ini dan kilang-kilang tidak mempunyai kelulusan untuk menerima barang-barang ini.

Menteri Pengangkutan terpaksa mengeluarkan beberapa arahan untuk membenarkan kargo di pelabuhan untuk diagihkan semasa tempoh awal PKP.

Setelah menghentikan kegiatan ekonomi tanpa pelan tersedia, kerajaan PN tiba-tiba mahu membuka ekonomi semula pada 1 Mei.

Ini menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang umum dan peniaga oleh kerana prosedur operasi standard (SOP) tidak diumumkan dan pihak berkepentingan seperti kerajaan negeri tidak diberi penerangan dengan betul.

Sebilangan besar rakyat Malaysia mungkin masih mengingati masa ini sebagai masa di mana pendandan rambut diberi kebenaran untuk mula beroperasi semula tanpa mempunyai SOP yang jelas.

Ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengalami kesusahan serius semasa PKP dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan PN dalam bentuk Program Subsidi Upah (PSU) jelas tidak mencukupi.

Ramai PKS mengharapkan program yang lebih tersasar dan jumlah bantuan yang lebih besar seperti apa yang diumumkan dalam RUU Bantuan Covid Singapura pada April 2020 dan dipertingkatkan lagi pada bulan Jun 2020.

RUU Bantuan Covid

Tetapi kerajaan PN tidak mengambil peluang semasa persidangan Parlimen yang berlaku pada 18 Mei 2020 untuk meluluskan RUU Bantuan Covid. Kerajaan PN memutuskan untuk hanya bersidang setengah hari pada hari itu.

Alasan yang diberikan adalah kerumitan akibat virus Covid dan juga tidak mahu ‘bermain politik’ semasa PKP.

Tetapi kerumitan ini tidak menghalang Perdana Menteri daripada melantik sejumlah besar ahli Parlimen PN dan ahli politik PN sebagai pengerusi badan bukan kerajaan (GLC) dan badan berkanun.

Kerumitan ini tidak menghalang PN daripada menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Bersatu di Kedah dan daripada berusaha untuk melakukan perkara yang sama di Negeri Sembilan dan Selangor walaupun tidak berjaya akhirnya.

RUU Bantuan Covid akhirnya dibentangkan dalam persidangan Parlimen sekarang tetapi ia sudah terlambat untuk menyelamatkan PKS yang terpaksa ditutup akibat PKP.

Yang menjadi semakin jelas adalah bahawa kerajaan PN, yang dipimpin oleh Muyhiddin Yassin, bukan kerajaan yang menjaga anda tetapi adalah sekumpulan ahli politik dengan kepentingan dan keutamaan tersendiri.

Semuanya ingin mendapatkan akses kepada kuasa untuk diri mereka sendiri dan bukan untuk menjaga rakyat Malaysia. — Roketkini.com