Berita, Rencana

‘Pertuduhan terhadap Guan Eng tidak berasas, berniat politik’ – Zairil

Oleh Zairil Khir Johari

(Penolong Setiausaha Publisiti DAP dan Adun Tanjung Bunga)

Pada 28 Julai 2020, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram berkaitan kes RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Beliau dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. Umum mengetahui Najib tidak pernah menafikan memiliki RM42 juta tersebut. Sebaliknya, beliau cuba menarik “simpati” dengan memberi alasan bahawa duit itu adalah untuk anak yatim.

Sepertimana kita sedia maklum, Mahkamah Tinggi telah menolak alasan yang tidak masuk akal tersebut. Ini jauh berbeza dengan kes Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang telah didakwa atas pertuduhan meminta suapan 10% keuntungan masa depan serta menerima RM3.3 juta bagi projek terowong bawah dasar laut di Pulau Pinang.

Namun begitu, tiada sebarang bukti untuk menunjukkan jumlah wang itu dimiliki oleh Guan Eng baik di dalam akaun banknya mahupun dalam bentuk tunai. Tambahan lagi, projek terowong itu telah dianugerahkan melalui tender terbuka yang dilaksanakan oleh Lembaga Tender Negeri.

Lembaga tersebut dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan dianggotai pegawai-pegawai kanan kerajaan. Gagal mencari wang tersebut dalam pemilikan Guan Eng, isterinya Betty Chew pula dituduh kerana menerima RM372,000.

Betty merupakan seorang peguam dan RM372,000 yang dimaksudkan itu adalah yuran guamannya yang telah diterima dalam jangka masa dua tahun dan bukan sekaligus. Keterdesakan pihak berkuasa amat jelas dengan cubaan untuk mengaitkan yuran guaman ini sebagai rasuah yang melibatkan Guan Eng.

Najib seolah-olah obses dengan usaha untuk mengaitkan Guan Eng kepada pelbagai projek yang dilaksanakan semasa zamannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang walaupun kesemua projek-projek telah dilaksanakan secara tender terbuka.

Malah, tuduhan bahawa Guan Eng telah memberikan projek perkampungan pekerja asing kepada pemilik rumahnya, Cik Phang, adalah tidak berasas sama sekali.

Projek tersebut telah dianugerahkan secara tender terbuka kepada sebuah syarikat dari Singapura yang tiada kaitan sama sekali dengan Cik Phang.

Tambahan kepada itu, syarikat yang telah menerima khidmat Betty Chew tidak mengambil bahagian dalam projek perkampungan pekerja asing tersebut.

Saya setuju dengan Guan Eng bahawa pertuduhan-pertuduhan terhadapnya adalah tidak berasas dan berniat politik semata-mata. Walau apa pun yang cuba dikatakan oleh Najib, kes beliau dan Guan Eng tiada persamaan langsung.

Tidak seperti Najib, Guan Eng adalah pemimpin yang selalu mengamalkan dasar tender terbuka. Saya juga yakin bahawa tiada sesiapa yang percaya cubaan untuk menyamakan Betty Chew dengan isteri Najib, Datin Sri Rosmah.

Perbandingan Betty dengan Rosmah umpama langit dan bumi. Malah, Guan Eng sendiri telah mengaku bahawa beliau telah gagal memberi isterinya 12,000 barangan kemas yang terdiri daripada 2,200 cincin, 1,400 rantai, 2,100 gelang tangan, 2,800 anting-anting, 1,600 kerongsang, 14 tiara, 423 jam tangan mewah (Rolex, Chopard, Richard Mille), 234 cermin mata hitam mewah (antaranya Versace dan Cartier), 567 buah beg tangan daripada 72 jenama (termasuk Chanel, Prada, Versace, Bijan, KWANPEN dan Judith Leiber, 272 beg tangan Hermès (Birkin bag) atau RM116 juta dalam 26 mata wang yang berlainan. — Roketkini.com