Berita

Kisah perit jerih pekebun durian Raub

Ada yang bermula dari tahun 90-an, ada juga memulakan penerokaan sejak 70-an. Ketika itu, keadaan dusun dan jalan lebih teruk daripada sekarang.

Mereka bermula dengan penanaman di tanah terbiar, sikit demi sedikit.

Bermula dengan tanaman sayur, seterusnya koko. Ia tidak menjadi, jadi mereka terpaksa bertukar ke tanaman lain.

Namun mereka tidak berputus asa. Mereka meneruskan lagi dengan tanaman getah, kelapa sawit dan akhirnya durian.

Segala hasil yang dijana dilabur semula untuk menambah baik keadaan tanah sehingga ia tersusun seperti kini.

Itu kisah perjalanan golongan pekebun durian di Raub, Pahang yang kini dilaporkan berdepan dengan tindakan.

Daripada penceritaan pekebun terlibat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut, Lee Chin Chen berkata, golongan itu telah mengharungi proses pembinaan yang sangat susah dan pahit.

Air mata membasahi pipi pekebun tersebut semasa pergkongsian pengalaman pahit berkenaan, ujarnya.

“Penanaman durian bukan kerja yang senang, hasil sekarang merupakan titik peluh petani-petani.

“Tiada orang tahu betapa banyak pengorbanan yang telah dicurahkan bagi menjadikan tanaman durian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seperti yang dikatakan oleh En Mahmud, kata Chin Chen, ia bukan sesuatu proses yang senang untuk tanaman durian.

Sebaliknya, beliau memberitahu, ia perlu melalui satu tempoh masa yang panjang dan penjagaan yang baik.

“Banyak faktor lagi yang perlu diambil kira. Jangan ingat hasil ini datang dengan senang, tetapi memerlukan usaha yang tidak mampu dibayangkan oleh orang biasa,” katanya.

Ujarnya, dalam wawancara, seorang wartawan telah bertanya kepada pekebun berhubung usaha dijalankan bagi menjayakan tanaman mereka.

“Mereka jawab bahawa segala ini tidak mampu kami nilai kerana banyak yang telah dicurahkan. Ia tidak dapat dinilaikan.

“Saya rasa inilah suara hati mereka, mereka tidak sanggup pengorbanan mereka, usaha mereka musnah kerana syarikat gergasi yang mahukan hasil mereka,” katanya.

Beliau menambah, ada yang kata, pekebun menanam di tanah haram, jadi ia sesuatu perbuatan yang salah.

Walau bagaimanapun, kata Chin Chen, beliau ingin memberitahu pihak tersebut bahawa mereka telah salah dan tidak memahami situasi sebenarnya.

“…atau mereka tidak mahu untuk memahami situasi pekebun ini,” katanya.

Adun Bilut itu menjelaskan, segala bermula dengan polisi Kerajaan Negeri Pahang yang terdahulu, di mana kerajaan negeri menggalakkan ‘tanam dahulu, memohon kemudian’.

Tambahnya, ia sesuatu polisi yang baik bagi menambah pendapatan rakyat.

“Hakikatnya mereka yang dikatakan ‘haram’ telah sering kali cuba untuk dapatkan kelulusan kerajaan untuk halalkan tanah tanaman mereka, tetapi ia gagal,” katanya.

Kata beliau, mereka adalah golongan yang ingin mencari rezeki dengan cara yang sah di sisi undang-undang, dengan usaha serta titik peluh mereka.

Menurut beliau, tiada sesiapa dalam kalangan mereka yang ingin hidup dalam kebimbangan, bimbang penguatkuasa yang akan menguatkuasakan dan saman mereka.

“Isunya kegagalan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah mereka,” jelasnya.

Kini, kata beliau, mereka hanya mahukan kerajaan negeri balik ke meja rundingan dan berunding dengan kerajaan negeri.

Beliau memberitahu, mereka rela bayar cukai dengan kadar yang berpatutan dan bukan dibuli oleh syarikat gergasi dengan syarat yang tidak munasabah.

“Saya percaya bahawa pekebun sedang menunggu dan berharap kerajaan mendengar suara rakyat, prihatin akan mereka seterusnya mencapai situasi menang-menang bersama,” katanya.

Chin Chen berkata, menurut kenyataan rasmi kerajaan negeri bahawa penguatkuasa akan mula operasi sita tanah ‘haram’ di sekitar Sungai Chalit.

Katanya, beliau tidak tahu apa yang akan melanda ke atas nasib pekebun-pekebun.

“Saya doakan yang terbaik agar kerajaan negeri ikhlas menyelesaikan masalah ini bersama dengan pekebun-pekebun,” katanya. — Roketkini.com