Berita

Rundingan terus boleh pulihkan perkhidmatan feri Pulau Pinang

Projek rundingan terus boleh diluluskan untuk memulihkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang dengan segera, kata mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, perolehan masa krisis atau bencana alam, perolehan berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara serta kepakaran khusus boleh dibuat melalui rundingan terus.

Menurutnya, ini berdasarkan garis panduan Kementerian Kewangan yang masih digunapakai masa kini.

“Projek rundingan terus dibenarkan dalam keadaan banjir ataupun penyakit Covid-19 dan untuk menyegerakan kerja pemulihan dan penyelamatan.

“Ataupun membeli suatu produk tersendiri dan khusus seperti Microsoft Word Office, di mana tender terbuka tidak boleh dijalankan.

“Contohnya, kegagalan perkhidmatan Feri Pulau Pinang yang menghentikan perkhidmatan buat kali pertama sejak beroperasi 126 tahun.

“Projek rundingan terus boleh diluluskan dalam keadaan ini untuk memulihkan perkhidmatan feri dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menambah, sememangnya Kementerian Kewangan PH mengamalkan sistem tender terbuka selaras dengan Manifesto Pilihan Raya Umum 2018 PH.

Manifesto itu kata beliau, menyatakan dalam Janji 23, ‘Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar’.

Dalam kata lain, ujarnya, tender terbuka adalah asas perolehan tetapi dalam keadaan perlu, pengecualian boleh diberikan kepada projek rundingan terus.

“Itulah sebabnya peratusan projek runding terus sebanyak RM6.6 bilion ini hanya 1.4 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan di bawah PH,” katanya.

Media melaporkan, perkhidmatan Rapid Feri Pulau Pinang tergendala selama tiga hari bermula Isnin lalu kerana masalah teknikal pada enjin feri berkenaan. — Roketkini.com