Berita, Rencana

Guan Eng bongkar 3 penipuan besar Menteri PN

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hari ini membongkarkan penipuan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung isu 101 projek rundingan terus (RT) yang didakwa dianugerahkan semasa zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Berikut adalah hujah fakta bagi menyangkal pembohongan menteri Perikatan Nasional (PN) tersebut:

  1. Projek RT PH bukan 1.4% tapi 0.07%

Yang pertama, kebanyakan projek RT ini bukan inisiatif baru daripada PH, tetapi adalah projek warisan atau sambungan zaman Barisan Nasional (BN).

Lagipun, PH telah meneruskan projek-projek ini dengan pemotongan kos yang membawa penjimatan yang ketara. Apa yang mengejutkan ialah rupanya projek RT di bawah inisiatif PH bukanlah RM6,610 juta seperti yang diwar-warkan, tetapi sebenarnya RM352 juta!

Baki RM6,258 juta ialah projek warisan dan sambungan zaman BN yang terpaksa diteruskan oleh PH.

Nilai projek RT RM6.61 bilion hanya merupakan 1.38% daripada nilai keseluruhan perolehan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2018 dan 2019.

Sekiranya nilai projek RT PH RM 352 juta sebenar ini diambilkira, ia merupakan hanya 0.07% daripada nilai keseluruhan perolehan kerajaan tempoh itu sebanyak RM 477,379 juta.

Dalam kata lain, 99.93% daripada jumlah keseluruhan perolehan telah ditawarkan melalui kaedah tender dan bukan rundingan terus. Jelas sekali adalah satu penipuan besar oleh Zafrul mengatakan PH telah meluluskan RM6.61 bilion projek RT.

  1. Letakkan projek zaman BN sebanyak RM6,258 juta sebagai projek RT zaman PH

Penipuan kedua ialah meletakkan projek zaman BN sebanyak RM6,258 juta sebagai projek RT zaman PH yang hanya RM352 juta sahaja untuk menjadi RM6.61 bilion.

Keraguan kami telah ternyata dan terbukti dengan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didedahkan oleh Kementerian Kewangan semalam.

A. Projek BN – RM4.48 bilion (67.7%)

Pertama sekali, senarai tersebut telah termasuk lima projek bernilai RM4.48 bilion yang telah ditawarkan oleh kerajaan BN sebelum Pakatan Harapan menjadi kerajaan. Kontrak-kontrak ini adalah seperti berikut:
(grafik sini)

Projek yang paling mengejutkan ialah Projek Menaiktaraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik Di Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2). Sebenarnya projek ini telah ditawarkan kepada Syarikat tersebut dengan harga RM5.265 bilion oleh kerajaan BN secara rundingan terus.

Setelah mengambil-alih kerajaan, Harapan mendapati bahawa harga kontrak tersebut adalah terlampau tinggi dan pihak Jemaah Menteri telah bersetuju untuk membatalkan kontrak tersebut.

Akan tetapi pihak syarikat kontraktor, sebuah syarikat usahasama antara Dhaya Maju dengan Lembaga Tabung Ankatan Tentera (LTAT) telah merayu kepada pihak kerajaan.

Setelah rundingan yang menyeluruh, kerajaan Harapan telah bersetuju untuk meneruskan projek tersebut dengan harga kontrak yang jauh lebih rendah, iaitu RM4.475 bilion.

Penyelesaian ini juga akan mengelakkan sebarang tindakan mahkamah antara syarikat dengan kerajaan, dan mengurangkan sebarang kelewatan ke atas projek jika projek tersebut ditender semula. Oleh itu, Menteri Kewangan sepatutnya memuji kerajaan Pakatan Harapan kerana kami telah berjaya menjimatkan wang rakyat sebanyak RM790 juta.

Di samping itu, ada lagi 4 projek di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) yang bernilai sebanyak RM8.18 juta telah dijalankan sebelum bulan April 2018, iaitu semasa BN masih memerintah.

Hanya lima projek di atas daripada Kementerian Pengangkutan dan MITi milikan BN sebanyak RM4.49 bilion sudah menjadikan 68% daripada jumlah RM6.61 bilion projek RT yang dihebohkan oleh Menteri Kewangan.

B. Projek Sambungan BN – RM1.753 bilion (26.5%)

Selain daripada itu, penemuan awal mengenai senarai 101 projek menunjukkan bahawa 31 projek yang bernilai RM1.753 bilion merupakan projek yang diwarisi daripada kerajaan BN yang lalu.

Kesemua kontrak ini merupakan sambungan dan penambahbaikan bekalan dan perkhidmatan yang diwarisi daripada kerajaan BN. Ia juga selalunya melibatkan perkhidmatan/bekalan yang memerlukan kepakaran tertentu atau monopoli.

Misalnya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia terpaksa memerolehi perkhidmatan sewaan satu multiplexer berserta infrastuktur dan fasiliti rangkaian bagi siaran TV Digital bagi tempoh 3 tahun dengan nilai RM254 juta kerana kami tiada pilihan lain.

Kontrak melantik Mytv telah dibuat pada tahun 2014 semasa kerajaan BN.

Kontrak pengurusan operasi dan penyelenggaraan sistem Malaysian Emergency Response Services (Mers) 999 Dengan Telekom Malaysia Berhad sebagai pembekal tunggal dengan nilai RM94 juta juga merupakan situasi yang sama.

C. Tayangan World Cup – RM29.9 juta (0.45%)

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mempersoalkan bayaran RM29.9 juta kepada Sports Media & Distributor untuk hak menyiarkan Piala Dunia FIFA 2018 walaupun Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada masa itu telah mengumumkan bahawa pihak kerajaan tidak akan menanggung sebarang kos untuk penyiaran pertandingan antarabangsa tersebut.

Zafrul sepatutnya mengeluarkan projek tersebut daripada senarai ini sebab walaupun pihak RTM, di bawah KKMM telah membayar RM29.9 juta, kesemua kos ini telah dikutip balik daripada pihak penaja, iaitu AirAsia dan Maxis.

Dalam kata lain, AirAsia dan Maxis bayar RTM, RTM bayar Sports Media & Distributor.

Tambahan lagi Sport Media & Distributor memegang hak monopoli ke atas penyiaran Piala Dunia di Malaysia. Oleh sebab itu, tiada tender terbuka dapat dijalankan.

D. Baki Projek Lain – RM352 juta (5.3%)

Hanya lebih kurang RM352 juta atau 5.3% daripada RM6.61 bilion merupakan perolehan ‘baru’ RT yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Daripada senarai ini, RM170 juta, hampir setengah atau 48.3% daripada nilai keseluruhan adalah untuk projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara bagi menggantikan stesen sedia ada. Projek ini diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Mungkin lebih baik jika menteri terlibat, YB Ampang yang telah lantang menafikan penawaran sebarang rundingan terus, boleh menjelaskan apa sebabnya projek ini ditawarkan secara runding terus.

Selain itu, kontrak RM70 juta telah diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mencetak Buku Teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akibat kesuntukan masa.

Jika tidak dilaksanakan secara runding terus, murid-murid tidak akan ada buku teks untuk bermula sesi sekolah.

Manakala, projek rundingan terus terbesar dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MoA) adalah “Operasi Bersepadu Wabak Rabies” yang berbelanja RM2.98 juta.
Peruntukan ini adalah terdesak untuk mengatasi kecemasan wabak rabies di Negeri Sarawak. Adakah kerajaan perlu menunggu lagi menghadapi masalah kesihatan dengan menjalankan operasi melawan wabak rabies ini?

  1. Bukan sahaja mematuhi tatacara perolehan kewangan tetapi bila perlu mendapat kelulusan Kabinet

Penipuan ketiga ialah usaha Zafrul untuk menutup hakikat bahawa Perdana Menteri dan Menteri-Menteri “pengkhianat” PH, yang kini menjadi Menteri Perikatan Nasional, juga ada meminta projek RT. Mereka semua telah cuba nafikan di Parlimen dan dalam kenyataan akhbar. Pembohongan Menteri-menteri “pengkhianat” dibongkar dengan pendedahan senarai Zafrul semalam yang menunjukkan bahawa Kementerian yang disandang sebelum ini:-

• Kementerian Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meminta RM 517.7 juta;
• Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(Zuraida Kamaruddin) meminta RM 170.8 juta;
• Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (Azmin Ali) meminta RM 1.2 juta; dan
• Kementerian Pembangunan Luar Bandar(Datuk Seri Rina binti Mohd Harun) meminta RM 7.36 juta.

Di samping permintaan Menteri-Menteri tersebut, projek-projek besar seperti KVDT2 mendapat kelulusan Kabinet. Samada Menteri-menteri “pengkhianat” ini bohong, tidur dalam Kabinet atau terlalu sibuk mengaturkan “Langkah Sheraton”, hanya mereka yang tahu.

Kesimpulan

Zafrul harus buktikan semua projek RT yang diluluskan oleh beliau teratur dan berkepentingan awam.

Zafrul sendiri mengakui projek RT tidak salah dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi syarat-syarat di antaranya, perolehan masa krisis atau bencana alam, perolehan berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara (Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Di-Raja Malaysia), kepakaran khusus (one of a kind).

Sememangnya Kementerian Kewangan PH mengamalkan sistem tender terbuka selaras dengan Manifesto Pilihan Raya Umum 2018 PH yang menyatakan dalam Janji 23, ‘Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar’.

Hanya 0.07% daripada jumlah keseluruhan perolehan kerajaan PH adalah projek RT. Jelas sekali PH mengotakan janji untuk menerima pakai sistem tender terbuka selaras dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Sebagai kesimpulan, Zafrul juga harus berterus-terang dengan mendedahkan projek RT zaman BN, dan yang penting sekali projek RT yang diluluskan oleh beliau sendiri dalam kerajaan Perikatan Nasional(PN).

Zafrul harus buktikan semua projek RT yang diluluskan oleh beliau adalah teratur dan berkepentingan awam. Biar rakyat buat penilaian sendiri, kerajaan mana yang mendokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Jangan ada double-standard atau “antara dua darjat” seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM) yang hanya hendak kaji projek RT PH, tetapi tidaknya projek RT BN atau PN.

Biar fakta bicara dengan sendirinya. Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar. — Roketkini.com