Berita, Rencana

Tubuh RCI siasat kontrak rundingan terus sepanjang 10 tahun lepas – Kit Siang

Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Jumaat 28 Ogos 2020:

Seruan untuk satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat semua perjanjian rundingan terus dalam sepuluh tahun yang lepas, daripada tahun 2010 sehingga 2020, merangkumi ketiga-ketiga kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan, dan Perikatan Nasional

Rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang telah mendedahkan isu perjanjian rundingan terus walaupun niat asal beliau mungkin berbeza, memandangkan perkara ini bermula sebagai satu permainan politik di Parlimen yang ditujukan kepada kerajaan Pakatan Harapan dengan tujuan untuk menuduh kerajaan tersebut sebagai sebuah kerajaan yang tidak berintegriti dalam menguruskan hal ehwal kewangan negara. 

Namun begitu, strategi Tengku Zafrul telah memakan diri dan kerajaan Perikatan Nasional apabila senarai 101 projek runding terus bernilai RM6.61 bilion ini telah menjadi bukti paling kuat — walaupun tidak sempurna — yang kerajaan Pakatan Harapan telah mentadbir negara selama 22 bulan dengan jauh lebih baik berbanding dengan kedua-dua kerajaan Barisan Nasional mahupun kerajaan “pintu belakang” Perikatan Nasional. 

Jika niat Tengku Zafrul ini ikhlas dan telus, beliau seharusnya memuji kerajaan Pakatan Harapan yang berjaya menjimatkan RM790 juta dalam Fasa 2 projek landasan berkembar Lembah Klang, memotong kos asal perjanjian yang bernilai RM5.625 bilion yang dipersetujui oleh kerajaan Barisan Nasional sehari sebelum Parlimen dibubarkan pada bulan Mac 2018 ini kepada RM4.475 bilion.

Bolehkah Tengku Zafrul memberikan satu contoh di mana kerajaan Perikatan Nasional dan Kementerian Kewangan di bawah pimpinan beliau berjaya menjimatkan negara daripada memperbelanjakan RM790 juta melalui semakan semula mana-mana kontrak yang telah ditandatangani oleh kerajaan Pakatan Harapan?

Daripada cuba menimbulkan persoalan terhadap integriti kerajaan Pakatan Harapan, Tengku Zafrul sepatutnya memuji kerajaan PH. 

Adakah Tengku Zafrul bersedia untuk mendedahkan senarai kontrak-kontrak yang telah dianugerahkan melalui rundingan terus yang telah diluluskan oleh beliau dalam tempoh enam bulan yang lepas selepas pembentukan kerajaan “pintu belakang” Perikatan Nasional untuk membuktikan yang mereka tidak mempunyai apa-apa perkara untuk disorokkan?

Jika beliau tidak mempunyai sebarang masalah dalam mendedahkan senarai kontrak-kontrak rundingan terus bawah kerajaan Pakatan Harapan ini, mengapakah beliau kelihatan seakan-akan malu-malu kucing untuk mendedahkan senarai kontrak-kontrak rundingan terus di bawah kerajaan Perikatan Nasional?

Mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, telah mendedahkan yang kerajaan Pakatan Harapan hanya bertanggungjawab terhadap 5.3 peratus daripada keseluruhan RM6.61 bilion kontrak rundingan terus yang telah didedahkan oleh Tengku Zafrul. Ini memandangkan kebanyakkan daripada kontrak-kontrak sejumlah RM6.61 bilion ini adalah warisan peninggalan pemerintahan kerajaan BN.

Kerajaan Pakatan Harapan hanya bertanggungjawab kepada sebahagian kecil (0.07 peratus) daripada semua kontrak-kontrak rundingan terus ini dalam tempoh 22 bulan ia mentadbir, dan hampir kesemuanya berkaitan dengan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. 

Mantan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Darel Leiking dan Timbalan Menteri beliau, Ong Kian Ming, telah menunjukkan di dalam kenyataan bersama mereka, empat projek yang bernilai RM8.18 juta (79 peratus daripada sejumlah RM10.4 juta kontrak runding terus yang berlaku di bawah MITI) adalah untuk perbelanjaan yang berlaku semasa pemerintahan Barisan Nasional dalam tempoh tiga bulan sebelum PRU14. Program-program ini adalah Young CEO Summit 2018, Himpunan Usahawan Bumiputera, Jom Niaga Wilayah Utara, dan Mini SDSI (Satu Daerah Satu Industri). 

Adakah Tengku Zafrul bersedia untuk mengaku yang beliau telah diberikan maklumat yang salah?

Guan Eng juga telah mendakwa, merujuk kepada senarai 101 kontrak-kontrak ini, empat orang pimpinan utama Bersatu terlibat dengan kontrak kerajaan yang dianugerahkan tanpa tender terbuka semasa mereka berada di dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, mereka adalah Perdana Menteri sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau merupakan Menteri Dalam Negeri PH, Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa Azmin Ali yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

Adakah Tengku Zafrul akan mengadakan sidang media bersama dengan keempat-empat menteri ini untuk menjelaskan cerita mereka?

Apa-apa pun, masanya telah tiba untuk satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kesemua kontrak-kontrak rundingan terus yang berlaku dalam tempoh 10 tahun yang lepas, daripada tahun 2010 sehingga 2020 yang merangkumi ketiga-ketiga kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan, dan Perikatan Nasional. 

Adakah Tengku Zafrul akan membawa agenda penubuhan RCI ini ke kabinet hari ini, untuk menyiasat kesemua kontrak rundingan terus yang berlaku di bawah ketiga-tiga kerajaan BN, PH dan PN untuk mengumumkan penubuhan RCI ini pada Hari Kebangsaan 31 Ogos ini? — Roketkini.com