Berita

‘SPRM bohong nafi cuba sekat saya masuk Sabah’

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kantoi berbohong apabila mendakwa kononnya agensi itu tidak cuba untuk menyekat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng daripada memasuki Sabah.

Perkara itu dijelaskan Guan Eng dalam kenyataannya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, semalam.

“Shafie Apdal telah mengesahkan secara peribadi kepada saya sebuah laporan berita yang mengatakan bahawa saya pada mulanya disekat memasuki Sabah kerana saya berada dalam senarai pemantauan SPRM.

“Ini membuktikan bahawa ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berbohong apabila dia menafikan bahawa SPRM telah menyekat saya memasuki Sabah,” katanya dalam satu kenyataan. 

Guan Eng tiba di Kota Kinabalu dan melepasi pihak imigresen di lapangan terbang dengan menggunakan pas lawatan sosial pada jam 11:54 malam.

Beliau bagaimanapun diminta masuk semula ke lapangan terbang oleh seorang pegawai kanan imigresen dan diberitahu bahawa SPRM telah ‘meletakkan halangan’ untuknya memasuki Sabah.

Beliau hanya dibenarkan masuk ke Sabah setengah jam selepas itu. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata agensi itu kononnya tidak pernah menyekat Guan Eng daripada melakukan perjalanan ke mana-mana negeri di Malaysia

Dawkaan Azam Baki itu terbukti tidak benar susulan penjelasan Shafie Apdal.

“Saya sendiri terkejut dengan situasi yang dialami Lim Guan Eng dan sudah bertanyakan perkara ini kepada Pengarah Imigresen.

“Difahamkan beliau adalah antara individu yang sudah dimasukkan dalam senarai SPRM.

“Perkara yang dinyatakan ini adalah aturan yang dibuat pihak di Kuala Lumpur tetapi kebiasaannya kita ada peraturan Imigresen sendiri.

“(Kerajaan) Persekutuan hanya boleh tentukan peraturan untuk mana-mana individu yang tidak menjelaskan cukai atau ada kes SPRM agar tidak boleh ke luar negara namun masih boleh sekiranya antara negeri,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Jelasnya, tiada individu disekat memasuki negeri itu sejak beliau menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri (hanya) akan mengenakan sekatan masuk terhadap mana-mana pihak yang didapati boleh memecah belah dan mewujudkan pertelingkahan,” katanya. — Roketkini.com