Berita, Rencana

DAP cadang 3 insentif perlindungan ekonomi untuk selamatkan pekerjaan, pendapatan rakyat

Oleh Lim Guan Eng

Setiausaha Agung DAP


Satu juta rakyat Malaysia yang menganggur menjelang bulan September memerlukan 3 perlindungan ekonomi berjumlah RM31.4 bilion untuk menyelamatkan pekerjaan dan mata pencarian. Ia merangkumi bantuan bulanan RM1,000, pelanjutan moratorium pinjaman bank selama 6 bulan lagi serta insentif pengambilan pekerja kepada majikan dan pekerja. Dengan kadar pengangguran pada 4.9% bersamaan 773,200 penganggur pada bulan Jun 2020, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan menyatakan bahawa pada bulan September, jumlah penganggur di negara ini akan meningkat kepaada satu juta orang.

Saravanan mengaitkan peningkatan jumlah pengangguran rakyat Malaysia kepada 1 juta, dengan tambahan 350,000 orang siswazah baharu dan 200,000 orang rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara. Satu juta rakyat Malaysia yang menganggur akan menjadi jumlah yang tertinggi dalam sejarah dan memerlukan tindakan segera oleh Kerajaan melalui peningkatan pinjaman berjumlah puluhan bilion ringgit.

DAP mencadangkan 3 perlindungan ekonomi berjumlah RM31.4 bilion. Pertama, pelaksanaan serta merta peningkatan bantuan kebajikan bulanan daripada RM200-300 kepada RM1,000 yang telah dicadangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumlah RM12 bilion. Ini akan menyediakan jaringan keselamatan serta merta bagi pekerja yang menganggur.

Kedua, pelanjutan moratorium pembayaran pinjaman bank selama 6 bulan lagi apabila tamat pada 30 September, berjumlah RM6.4 bilion yang akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia. Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mengatakan bahawa jumlah nilai moratorium pinjaman adalah RM78.14 bilion setakat 21 Ogos 2020. RM27.35 bilion telah dimanfaatkan oleh 300,000 perniagaan manakala RM50.79 bilion telah dimanfaatkan oleh 7.7 juta individu Malaysia.

Ketiga, insentif pengambilan pekerja di bawah #MalaysiaKerja sebanyak RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 kepada majikan untuk mendorong majikan mengambil pekerja tempatan seperti yang dicadangkan oleh PH dalam Belanjawan 2020. Memperluaskan skim ini untuk menampung 600,000 pekerja Malaysia dan majikan mereka akan menelan belanja sebanyak RM13 bilion. Insentif ini juga akan membantu lebih dari 500,000 anak muda yang menganggur, yang merupakan sebahagian besar daripada 4.9% kadar pengangguran.

Malaysia adalah ekonomi dengan prestasi terburuk di ASEAN dengan penguncupan KDNK 17.1% pada suku tahun kedua 2020. Demi menyelamatkan dan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan ekonomi kita sekarang, fokus kewangan kerajaan harus beralih daripada mengawal tahap hutang dan defisit fiskal negara, kepada meminjam lebih banyak wang. Meminjam RM31.4 bilion untuk membantu satu juta rakyat Malaysia yang menganggur mungkin mahal tetapi diperlukan untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat Malaysia. — Roketkini.com