Berita

Isu Veveonah: Timbalan Menteri, MP Kudat hina rakyat Sabah

Senator Adrian Lasimbang membidas kenyataan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung isu membabitkan, Veveonah Mosibin.

Beliau merujuk kenyataan Ahli Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin yang menuduh Veveonah berpura-pura mengambil peperiksaan di atas pokok dalam satu video tular miliknya. 

Video tersebut menunjukkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menduduki peperiksaan di atas pokok pada 12 Jun lalu bagi mendapatkan capaian internet yang lebih baik. 

Menurut Adrian, kenyataan Abdul Rahim dan Zahidi Zainul merupakan suatu penghinaan terhadap rakyat Sabah dan perlu diambil perhatian serius. 

“Kenyataan mereka ini satu penghinaan kepada rakyat Sabah, dengan mudah menyalahkan pensyarah UMS, menunjukkan ketidakpedulian, lebih-lebih lagi Abdul Rahim, yang merupakan wakil rakyat dari Sabah, kepada isu sebenar berkenaan kesukaran mendapat capaian internet yang dihadapi rakyat Sabah khususnya di kawasan pedalaman,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

Tegasnya, masih banyak kawasan kampung di Sabah berhadapan dengan masalah capaian internet dan ia memberi impak kepada akses pembelajaran atas talian ketika perintah kawalan pergerakan (PKP)

“Contohnya, Kampung Tilis, Tenom, apabila pelajar terpaksa memanjat bukit hampir 30 hingga 40 minit untuk mendapatkan capaian internet. 

“Oleh itu, Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual membina pondok kecil di kawasan bukit supaya anak-anak dari Kampung Titis mempunyai tempat berteduh semasa mendapat akses internet,” ujarnya. 

Beliau turut menggesa Zahidi menjelaskan rancangan bersepadu merangkumi wilayah dan garis masa konkrit untuk pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dikatakan bakal memberikan liputan internet yang lebih baik buat rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

“Saya menyeru agar kedua-dua Timbalan Menteri, Zahidi dan Abdul Rahim untuk tidak menyembunyikan isu sebenar dan mengambil serius usaha menguruskan capaian internet di Sabah.

“Saya memberi sokongan penuh kepada Veveonah, kerana ia mengambarkan masalah sebenar, iaitu terdapat ramai individu seperti ‘Veveonah’ di Sabah,” katanya yang juga Pengarah Pendidikan Politik Sabah. – Roketkini.com