Berita

DAP bantah keras caj perkhidmatan pembelian dalam talian

DAP membantah keras cadangan kerajaan untuk mengenakan caj perkhidmatan kepada pembeli yang melakukan pembelian dalam talian.

Tegas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ini kerana pengguna telah membayar fee capaian internet, justeru tidak perlu bayar lagi membayar caj perkhidmatan itu. 

“Kerajaan tidak harus memandang rendah, sebaliknya perlu menghormati pengguna internet dalam negara dengan memberikan penjelasan penuh, termasuk rasional syor caj perkhidmatan baru untuk pembelian atas talian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin seperti dilapor media berkata kerajaan bercadang untuk mengenakan caj perkhidmatan 20 sen bagi pembelian di bawah RM1,000 melalui platform dalam talian.

Katanya, pembelian di bawah RM200 tidak akan dikenakan caj berkenaan manakala tambahan setiap 20 sen perlu dibayar pengguna bagi gandaan RM1,000 berikutnya.

Ia kononnya sebagai langkah untuk mengumpul dana khas bagi membantu golongan B40 termasuk menambah baik pembangunan komunikasi di luar bandar.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, alasan Zahidi yang diberikan oleh KKMM untuk melaksanakan caj tersebut adalah tidak munasabah dan tidak logik.

Tegas Ahli Parlimen Bagan itu, kerajaan PH sebelum ini mampu memperuntukkan RM290 juta untuk menaiktaraf perkhidmatan kesalinghubungan internet di kawasan pedalaman dalam 152 tapak di seluruh Malaysia tanpa mengenakan caj perkhidmatan seumpama itu. 

“Syor ini tidak masuk akal apabila matlamat menambah baik pembangunan komunikasi luar bandar memang telah diusahakan oleh kerajaan PH di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“NFCP sebanyak RM290 juta untuk 152 tapak pedalaman di seluruh negara, dirancang khusus untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan desa agar kawasan pedalaman juga mendapat perkhidmatan internet dan peluang yang sama-rata. 

“Sehingga kini, Datuk Zahidi atau KKMM enggan melaporkan perkembangan dan status NFCP ini. Adakah NFCP dihentikan?” ujarnya. — Roketkini.com