Berita, Rencana

‘Sepatutnya puji Veveonah dedah masalah jurang digital, bukan tuduh melulu’

Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu 9 September 2020:

Zahidi dan Abdul Rahim telah berkonspirasi untuk menggambarkan insiden Veveonah ini sebagai satu episod komedi kesilapan, menunjukkan yang negara kita sedang menjadi sebuah kakistokrasi di bawah kepimpinan Muhyiddin

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri Kewangan yang juga merupakan Ahli Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri, telah berkonspirasi untuk menggambarkan insiden Veveonah ini sebagai satu episod komedi kesilapan, menunjukkan yang negara kita ini sedang menuju ke arah sebuah kakistokrasi — sebuah kerajaan yang dipimpin oleh mereka yang tidak berkelayakan — di bawah pimpinan kerajaan “pintu belakang” Muhyiddin. 

Pertamanya, kita dapati Zahidi telah menuduh di dalam Dewan Negara pada Khamis lepas yang pelajar Veveonah Mosibin daripada Kampung Sapatalang di Pitas, Sabah telah menipu apabila beliau memuat naik satu video Youtube mengenai 24 jam yang diluangkan beliau di atas pokok untuk menduduki peperiksaan kerana sukar mendapatkan sambungan internet. 

Zahidi mengatakan yang beliau telah menyemak kejadian ini dan mendapati kononnya yang Veveonah telah berlakon mengambil peperiksaan di atas pokok untuk menaikkan populariti saluran Youtube beliau. 

Pada waktu malam hari yang sama, Zahidi telah memohon maaf ke atas kenyataan beliau ini. 

Dalam satu catatan Facebook, beliau mengatakan yang beliau tidak menerima maklumat yang tepat semasa beliau bercakap mengenai Veveonah dan beliau meminta maaf kepada Veveonah. Beliau juga mengatakan yang beliau akan membuat pembetulan di Dewan Negara pada hari Isnin depan. 

Pada hari Isnin, Zahidi tidak membuat pembetulan seperti yang dikatakan minggu lepas, sebaliknya, beliau mempertahankan apa yang dikatakan beliau pada hari Khamis lepas dan maklumat tersebut diperolehi oleh Timbalan Menteri Kewangan yang juga merupakan Ahli Parlimen Kudat yang merangkumi kawasan Pitas. 

Kemudiannya, Abdul Rahim telah termasuk ke dalam isu ini dan menulis di laman Facebook beliau mengenai satu laporan daripada seorang ketua kampung tempatan yang mendakwa Veveonah tidak tinggal di kampung di Pitas seperti yang didakwa beliau dan kononnya terdapat seorang “dekan” Universiti Malaysia Sabah telah mempertikaikan adanya sebarang peperiksaan atas talian. 

Ahli Politik Bersatu tersebut telah mempersoalkan motif Veveonah dalam membuat video Youtube mengenai pengalaman beliau tersebut. 

“Daripada dapatan saya, saya syak yang mungkin terdapat motif tertentu disebalik penyiaran video yang dimuat naik ke Youtube dan ditonton oleh seluruh dunia tersebut,” kata beliau di dalam catatan Facebook beliau. 

Perkara ini kemudian telah membuatkan abang kepada Veveonah, Mekvin Mosibin untuk mencabar kedua timbalan menteri yang menuduh adiknya menipu ini untuk melawat kampung mereka di Pitas untuk menyaksikan sendiri betapa usangnya kemudahan yang ada di kampung tersebut. 

Mekvin telah mempertahankan tindakan adiknya yang memuat naik video beliau memanjat pokok untuk mendapat sambungan internet untuk menduduki peperiksaan atas talian, mengkritik Zahidi kerana mensasarkan Veveonah, dan menjemput beliau untuk melawat kampung mereka. 

“Marilah cuba melawat kampung hulu, mari, mari. Tapi jangan pilih kampung tertentu sahaja, lawat seluruh kawasan. Kawasan paling hulu sekali.

“Cuba rasa bagaimana pengalaman melayari internet di kawasan pedalaman. 

“Dan ini baru saja internet. Kita belum masuk hal air, elektrik, jalan lagi.”

Berkata mengenai cubaan Abdul Rahim untuk mencemarkan nama baik Veveonah, Mekvin mengatakan yang Ahli Parlimen Kudat tersebut jarang sekali dilihat di Pitas dan beliau mencadangkan supaya Abdul Rahim lebih kerap turun ke lapangan. 

Mengenai dakwaan yang keluarga Mosibin tidak lagi tinggal di kampung yang sama, Mekvin mengakui yang perkara tersebut adalah benar dan beliau mendakwa yang mereka telah “dihalau” oleh ketua kampung yang sama yang telah memberikan maklumat itu kepada Abdul Rahim. 

“Ketua kampung ini bukan dari Kampung Sapatalang, tapi dia telah halau ayah saya sedangkan ayah saya berasal daripada kampung ini,” jelas beliau. 

Kemudiannya, Abdul Rahim telah memadan catatan Facebook beliau. 

Perkara ini kemudiannya berpusing kembali ke situasi asal apabila Mantan Menteri Pelancongan Sabah, Masidi Manjun, menggelar Veveonah sebagai pelajar contoh setelah mendapatkan maklumat lanjut mengenai beliau daripada pihak Universiti Malaysia Sabah. 

Masidi yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UMS pada bulan lepas, berkata yang beliau telah berbincang dengan kedua-dua Timbalan Naib Canselor dan Pengarah Pusat Asasi Sains dan Teknologi UMS. 

“Saya mengesahkan pelajar Asasi Sains, Veveonah Mosibin telah menduduki peperiksaan akhir (online) pada 9-12 Jun 2020.” kata Masidi, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri untuk Karanaan. 

Beliau juga mendapati yang Veveonah telah ditawarkan untuk menyambung kursus ijazah sarjana muda sains marin di universiti yang sama. 

Saluran Youtube Veveonah telah ditonton lebih daripada 780,000 kali, satu pencapaian yang tidak dapat dicapai oleh kedua-dua timbalan menteri tersebut. 

Veveonah sepatutnya dipuji di atas kejayaan beliau dalam mendedahkan masalah jurang digital yang dihadapi oleh penduduk di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia, namun begitu, pengalaman beliau ini cuba dijadikan satu komedi tragis. 

Sekarang, Zahidi pula dituduh sebagai mendapatkan kelayakan akademik daripada kilang ijazah palsu. 

Inilah yang berlaku apabila kita menjadi sebuah kakistokrasi! — Roketkini.com