Berita, Rencana

Zahidi harus letak jawatan – Guan Eng

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP)

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Zahidi Zainul Abidin harus letak jawatan kerana melanggari etika kerja, profesionalisme dan mencemar maruah rakyat. Beliau berkali-kali memberikan maklumat yang palsu, suka menyalahkan orang lain untuk menutup kegagalannya sendiri dan membuli pihak pengadu, sungguhpun pengadu merupakan pelajar universiti berumur 18 tahun.

Beliau sering menyarankan orang lain agar tidak menyebarkan berita palsu dengan ungkapan “Tidak pasti, jangan kongsi”. Akan tetapi beliau sendiri melanggari prinsip tersebut kerana telah berkongsi berita palsu berkaitan dengan kes pelajar Sabah yang berumur 18 tahun, Veveonah Mosibin. Selepas meminta maaf atas dakwaan palsunya bahawa Veveonah telah menipu, Zahidi pula menyatakan akan menyiasat perkara ini secara mendalam untuk menentukan kesahihan dakwaan Veveonah.

Selepas mendapat kritikan orang ramai, beliau pula menyalahkan DAP, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Hannah Yeoh mempolitikkan isu ini. DAP tidak pernah berjumpa Veveonah dan hanya memberikan ulasan selepas Zahidi menyerang pelajar tersebut dalam ucapan Dewan Negara. Kini Kabinet sendiri mempersalahkan Zahidi sebagai tidak wajar dan tidak tepat dalam menangani isu ini. Hakikatnya, Zahidi tidak boleh salahkan siapa-siapa sekarang kerana tindakan itu bagaikan meludah ke langit terkena ke muka sendiri.

Isu buli adik pelajar Sabah belum selesai, beliau pula mengumumkan hasrat Kementerian Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (KKMM) untuk mengenakan bayaran perkhidmatan 20 sen bagi pembelian bawah RM1,000 di platform e-dagang dan tambahan 20 sen bagi gandaan RM1,000 berikutnya. Ini menimbulkan reaksi negatif netizen kerana dianggap bayaran dua kali selepas telahpun buat bayaran capaian internet. Berikutan itu, KKMM pula mengeluarkan kenyataan rasmi semalam menafikan ada cadangan caj perkhidmatan kerana perkara ini tidak pernah dibincangkan.

Dengan kenyataan KKMM, adakah ini bermakna bahawa Zahidi membuat kenyataan yang palsu? Sekali lagi beliau melanggari saranannya sendiri, “Tidak pasti, jangan kongsi”. Memandangkan Zahidi telah hilang kredibiliti awam, adalah perlu seorang lain yang lebih berwibawa dan berkemampuan menggantikannya sebagai Timbalan Menteri. — Roketkini.com