Berita, Rencana

4 percanggahan dalam pertuduhan ke atas Guan Eng

Setiausaha Agung DAP. Lim Guan Eng berkata, terdapat empat percanggahan dalam dua pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya hari ini.

Beliau menggariskan empat percanggahan tersebut seperti berikut:

• Bagaimana mungkin berlakunya rasuah ketika tiada wang suapan yang dijumpai dalam pemilikan saya, dan isteri saya tidak memiliki wang tunai ratusan juta, barang kemas mahal dan ratusan beg tangan berjenama?

• Bagaimana mungkin berlakunya rasuah atau penyalahgunaan kuasa apabila projek terowong tersebut dianugerahkan melalui tender terbuka dan semua keputusan dibuat oleh pegawai kerajaan negeri, EXCO atau jawatankuasa teknikal khusus dan tidak diputuskan oleh saya seorang?

• Bagaimana mungkin berlakunya rasuah atau penyalahgunaan kuasa apabila pembayaran yang dibuat kepada CZBUCG perlu mendapat kelulusan daripada pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang, setelah mendapat kebenaran daripada firma perunding kejuruteraan profesional bebas yang dilantik melalui tender terbuka?

• Bagaimana mungkin berlakunya rasuah apabila CZBUCG pada tahun 2019, secara terbuka melalui media menafikan memberi rasuah kepada mana-mana pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang, dan bahawa SPRM telah mengesahkan syarikat dan Pengerusinya tiada terlibat dalam sebarang perlakuan rasuah atau korupsi?

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan seterusnya berkata, beliau akan membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah.

Tambahnya, ini lebih-lebih lagi apabila tiada wang ganjaran atau wang suapan dijumpai sama ada di dalam akaun bank peribadinya atau dalam pemilikan beliau berbentuk tunai.

“Adalah mengecewakan bahawa pihak berkuasa yang berkenaan, termasuk SPRM, telah membenarkan diri mereka dipergunakan atau disalahgunakan untuk melakukan penganiayaan politik (political witch hunt) terhadap saya berdasarkan bukti yang tidak kukuh.

“Sebaliknya, tiada tindakan yang sama diambil oleh SPRM terhadap pemimpin kerajaan PN sekarang sungguhpun mempunyai fakta kes yang tidak dapat disangkal atau wujudnya bukti yang kukuh. Antara dua darjat?

“Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar,” katanya. – Roketkini.com