Berita

Rakyat Sabah kecewa tiada pengumuman program khas rapatkan jurang digital

Iltizam dan keberanian pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang berusaha mendapatkan sambungan Internet baik di atas pokok bagi membolehkannya menduduki peperiksaan dalam talian, semestinya menjadi inspirasi kepada golongan belia di negara ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, Veveonah memang sepatutnya mendapat perhatian bukan sahaja di seluruh negara malah di peringkat antarabangsa.

Namun begitu, menurutnya, rakyat Sabah dan Malaysia berasa kecewa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinet kerana tidak bertindak dengan mengumumkan sebarang program khas untuk merapatkan jurang digital di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.

“Apa yang lebih mengecewakan adalah apabila terdapat dua orang timbalan menteri yang telah menuduh Veveonah sebagai menipu mengenai pengalaman beliau menjawab peperiksaan di atas pokok, dan mereka ini dapat melepaskan diri daripada menerima sebarang hukuman yang setimpal dengan tindakan mereka.

“Seorang timbalan menteri ini hanya perlu memohon maaf di dalam Dewan Negara manakala seorang lagi timbalan menteri yang juga merupakan Ahli Parlimen Kudat pula dilupakan begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di Gelang Patah hari ini.

Veveonah sebelum ini memuat naik video pengalamannya menerusi saluran YouTube dengan tajuk ’24 Hours On Tree / Challenge’ (Cabaran 24 jam atas pokok) yang kemudian tular di media sosial.

Ramai mengkagumi kegigihan pelajar jurusan Asasi Sains itu mendapatkan sambutan Internet yang baik di atas pokok demi menduduki peperiksaan dalam talian.

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dilaporkan mendakwa Veveonah sebenarnya tidak mempunyai sebarang peperiksaan semasa memanjat pokok di kawasan rumahnya.

Sebaliknya dakwa Zahidi, Veveonah melakukan tindakan itu untuk ditularkan serta mengisi kandungan saluran YouTubenya.

Veveonah dilaporkan kecewa dan bersedih dengan dakwaan Zahidi terhadapnya dan menegaskan, beliau sangat berusaha keras terhadap peperiksaan secara dalam talian.

Zahidi bagaimanapun telah memohon maaf dan mendakwa mendapat maklumat tidak tepat dan menjelaskan beliau menerima maklumat berkaitan Veveonah daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd Rahim Bakri.

Mengulas lanjut, Kit Siang menambah, Muhyiddin tidak berani mendisiplinkan kedua timbalan menteri tersebut kerana bimbang beliau akan hilang kedudukannya sebagai Perdana Menteri sekiranya kerajaan tumbang.

“Kerapuhan kerajaan tersebut juga menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang terlemah dalam sejarah negara, di mana Menteri tidak berani mendisiplinkan timbalan mereka kerana mereka datang daripada parti yang berlainan, dan di mana Perdana Menteri juga tidak berani mendisiplinkan timbalan-timbalan menterinya kerana bimbang mengenai kelangsungan kerajaan beliau.

“Muhyiddin boleh mencuba untuk meredakan seorang Veveonah Mosibin, tetapi apa yang mahu dilihat oleh Veveonah dan seluruh rakyat Malaysia adalah penyelesaian masalah yang dihadapi oleh beliau dan ramai lagi di seluruh negara iaitu masalah jurang digital yang terlalu luas dalam negara kita.

“Adakah Muhyiddin bersedia untuk memberikan penyelesaian ini?” soalnya. — Roketkini.com