Berita, Rencana

Bersatu demi masa depan generasi akan datang

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP)

Hari Malaysia meraikan perpaduan nasional dalam masyarakat kita yang berbilang kaum, dan integrasi nasional antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Perpaduan dan integrasi nasional dapat dicapai apabila ianya bersifat inklusif, berdasarkan saling menghormati, memberi peluang saksama dan memakmurkan seluruh rakyat Malaysia.

Janji untuk Hari Malaysia adalah supaya kita dan anak-anak kita dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah. Janji itu hanya dapat dipenuhi jika kita bersatu sebagai sebuah negara tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang. Mereka yang gagal memenuhi janji ini, akan mengalihkan perhatian dan memecahbelahkan kita dengan menggunakan retorik perkauman dan ekstremisme agama.

Rakyat Malaysia harus menyokong mereka yang berusaha ke arah perpaduan nasional. Kita tidak bertengkar sesama sahabat tetapi setiakawan, saling bekerjasama dan saling menyokong.

Kita bersatu di bawah pemimpin bersama dan tidak tamak berebut kuasa dengan rakus. Kita tidak mencari kedudukan kerana politik wang.

Kita kembalikan kuasa kepada rakyat kerana kita menghormati kuasa rakyat. Dan yang lebih penting lagi, kita jaga kepentingan rakyat dan bukannya jaga kepentingan kroni.

Tanah ini milik kita semua, bukan hanya satu kumpulan. Hanya ada Tanah Sabah, Tanah Sarawak dan Tanah Malaysia bagi setiap rakyat Malaysia.

Masa depan adalah milik anak-anak kita, bukan hanya milik satu golongan sahaja. Orang Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun-Murut, Iban, Dayak dan Orang Asli – kita semua adalah anak Malaysia.

Harapan masih ada untuk hari esok yang lebih baik, jika kita bersatu bersama melawan mereka yang ingin merompak masa depan anak-anak kita.

Marilah kita bersatu untuk membentuk kerajaan yang dipilih oleh rakyat, untuk menjadi pelindung rakyat, pembela demokrasi, perisai untuk keadilan, pedang menentang rasuah, penjaga kekayaan ekonomi dan pemelihara masa depan anak-anak kita.

BERSATU PADU!

SELAMAT HARI MALAYSIA! — Roketkini.com