Berita, Rencana

Warisan Plus Sandakan lancar manifesto bersepadu

Daerah Sandakan mempunyai tiga kawasan Parlimen, iaitu Sandakan, Libaran dan Batu Sapi. Di bawah tiga kawasan itu pula, terdapat tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri; Gum-Gum, Karamunting, Elopura, Tanjung Papat, Sg Sibuga, Sekong dan yang terbaru, Sg Manila.

Pada Rabu, 16 September 2020, tujuh calon Warisan Plus di Sandakan berkumpul di Kampung Sim Sim, Tanjong Papat demi melancarkan “Sandakan Berpadu, Sabah Baharu” yang akan memberi sinar baru buat Sabah, khususnya daerah Sandakan.

Tujuh calon Warisan Plus di Sandakan termasuklah Arunarnsin Taib (N50 Gum-Gum), Prof. Dr. Mahmud Sudin (N51 Sungai Manila), Armani Mahiruddin (N52 Sungai Sibuga), Alias Sani (N53 Sekong), George Hiew (N54 Karamunting), Calvin Chong (N55 Elopura) dan Frankie Poon (N56 Tanjong Papat).

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ke-57 tahun ini, beberapa nilai-nilai sepunya turut dikongsi bersama-sama rakyat jelata. Manifesto yang telah disepakati ini juga dihasilkan demi memikirkan masa depan anak Sandakan di alaf baru.

Lima agenda utama dalam manifesto yang disepakati untuk mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk Sandakan adalah seperti berikut:

  1. Mewujudkan Sebuah Universiti Penuh
  2. Meningkatkan Perkhidmatan Kesihatan Awam
  3. Rakyat Mencorak Kebangkitan Sandakan
  4. Wujudkan Lebih Banyak Peluang Kerja untuk Warga Tempatan
  5. Menambah Baik Sistem Pengangkutan Awam

26 September 2020 merupakan tarikh penting buat penduduk Sandakan dan rakyat Sabah secara keseluruhannya. Gagasan ini hanya akan menjadi nyata jika anak Sandakan bersatu hati memilih satu pasukan berpadu dari Warisan Plus untuk meneruskan pembangunan yang sedia ada, meningkatkan kualiti kehidupan serta membangkitkan semula kedudukan Sandakan sebagai satu daerah bertaraf antarabangsa.

Sungguhpun rakyat Sabah kini turut menghadapi cubaan diasing-asingkan mengikut daerah, keturunan, agama, latar ekonomi, pendidikan dan budaya seperti mana di Semenanjung, hakikatnya nilai-nilai dan kebimbangan yang serupa dikongsi bersama sebagai rakyat di negari yang bertuah ini.

Rakyat Sandakan seluruhnya berhak mendapatkan khidmat dan manfaat yang terbaik daripada kerajaan, dan ini boleh diraih dengan menyatukan seluruh kekuatan dan tenaga politik, sosial dan ekonomi pada setiap peringkat agar rakyat Sandakan, dan negeri Sabah dapat mencorak masa depan yang lebih gemilang.

Acara unik yang menghimpunkan ketujuh-tujuh calon Warisan Plus di Sandakan ini turut dihadiri oleh Veteran DAP, Lim Kit Siang, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, wakil-wakil media dan bakal pengundi-pengundi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah nanti.

Semoga rakyat Sabah dapat keluar mengundi dan menurunkan tanda pangkah pada calon-calon wakil rakyat dari Warisan Plus agar manifesto ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sokong DAP, undi Warisan! — Roketkini.com