Berita, Rencana

PRN Sabah: 6 sebab kenapa ia pilihan raya teraneh dalam sejarah Malaysia

Oleh Lim Kit Siang

(Ahli Parlimen Iskandar Puteri)

1) Jumlah calon paling ramai

PRN Sabah mencatatkan rekod baharu apabila mempunyai jumlah calon yang paling ramai iaitu sebanyak 447 calon bertanding untuk 73 kerusi DUN di Sabah. Pertembungan pelbagai penjuru juga dapat dilihat dalam PRN kali ini apabila ada satu kerusi yang menyaksikan paling ramai calon bertanding iaitu 11 orang yang akan merebut satu jawatan.

2) Disertai oleh ramai katak politik

PRN kali ini juga menyaksikan penyertaan tertinggi daripada golongan katak politik. Mereka ini sedang menantikan masa yang terbaik untuk menawarkan diri mereka kepada mana-mana pembida tertinggi jika tiada pihak yang berjaya mendapatkan majoriti yang kukuh untuk membentuk kerajaan negeri dalam keputusan akhir nanti.

3) Pembangkang yang berpecah-belah

Kumpulan pembangkang di Sabah nampaknya tidak bersatu hati dalam melawan Warisan Plus. PRN Sabah kali ini menyaksikan Warisan Plus mempunyai program yang lebih jelas iaitu bukan sahaja untuk memanangi majoriti daripada 73 kerusi, tetapi dua-pertiga daripada kesemua kerusi untuk menjamin kestabilan politik di Sabah.

Manakala pihak pembangkang pula nampak sangat rapuh apabila mereka seperti tidak mampu membezakan di antara kawan dengan lawan, gagal untuk bersetuju dengan manifesto Aku Janji mereka, dan juga gagal untuk mencapai kata sepakat berkenaan calon Ketua Menteri mereka. Masing-masing nampaknya sedang berusaha untuk mengetengahkan calon Ketua Menteri masing-masing.

4) Perdana Menteri paling kuat berkempen

Nampaknya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri sangat aktif berkempen dalam PRN Sabah kali ini berbanding pemimpin pembangkang yang lain. Adakah ini kerana masa depan politik beliau bergantung kepada keputusan pilihan raya ini?

5) Banyak isu lama dibangkitkan semula
Sebagai contoh, isu MA63 dan Batu Sumpah Keningau dibangkitkan semula selepas dilupakan berpuluh tahun lamanya. Buat pertama kali dalam sejarah, seorang Perdana Menteri Malaysia dilihat memberi penghormatan terhadap Batu Sumpah Keningau ini.

Tetapi persoalannya, adakah Muhyiddin akan membawa intipati dan tiga janji yang tertulis dalam Batu Sumpah Keningau ini ke dalam Parlimen bersama satu usul yang kerajaan akan mengotakan janji-janji ini?

6) Calon ketua menteri yang berhadapan tuduhan mahkamah

Buat julung kalinya, kita ada seorang ahli politik yang beraspirasi untuk menjadi Ketua Menteri Sabah dan beliau juga sedang berhadapan dengan pelbagai tuduhan rasuah di mahkamah yang sama dengan bekas Perdana Menteri yang memegang rekod jumlah tuduhan rasuah terbanyak di Malaysia. — Roketkini.com