Berita, Rencana

PSPTB mula dilaksana menerusi rundingan terus masa BN – Guan Eng

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

Bekas ahli Parlimen, Datuk Tamrin Ghafar telah menyatakan hasrat menfailkan saman malu di mahkamah terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida telah mendakwa Tamrin, selaku penasihat syarikat Bumi Segar Indah, terlibat dalam penganugerahan projek secara rundingan terus (RT) oleh saya sebagai Menteri Kewangan kepada syarikat Tamrin.

Zuraida juga mendakwa Tamrin telah mempengaruhi saya memberikan Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB) sebanyak RM170.3 juta kepada syarikat Tamrin dengan potongan harga 10 peratus.

Tamrin telah menafikan semua dakwaan Zuraida sebagai palsu, pembohongan dan fitnah semata-mata.

Saya ingin mengesahkan beberapa hujah yang diketengahkan oleh Tamrin.

PSPTB mula dilaksanakan menerusi rundingan terus pada 2017 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Saya tidak terlibat sebagai Menteri Kewangan dalam perbincangan atau proses RT bagi projek ini, sama ada dengan syarikat mahupun dengan Tamrin, kerana projek ini di bawah pengendalian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

KPKT memang ada mengambil inisiatif membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk melantik semula syarikat tersebut.

Kabinet telah memutuskan secara dasar pada tahun 2018, bahawa semua projek RT di bawah BN hanya akan disambung sekiranya potongan harga sebanyak 10 peratus diberikan demi menjimatkan wang negara.

Akan tetapi projek yang diberikan secara tender terbuka oleh BN tidak akan terjejas dan akan diteruskan.

Sememangnya Zuraida bermain helah politik apabila cuba mengaitkan keputusan Kabinet Pakatan Harapan (PH) pada 2018 untuk memotong 10 peratus daripada harga kontrak RT yang diluluskan oleh BN, sebagai bukti bahawa saya sendiri yang telah membuat keputusan memotong harga 10 peratus tersebut untuk meneruskan PSPTB melalui RT.

Sungguhpun Kabinet yang sebenarnya telah membuat keputusan pemotongan harga 10% daripada semua projek RT BN, ianya tetap menjadi, “ini semua salah Lim Guan Eng”.

Zuraida harus bercakap benar bahawa beliau hadir dalam mesyuarat Kabinet PH pada 2018, yang telah membuat keputusan memotong harga semua kontrak BN yang diberikan secara RT sebanyak 10 peratus demi menjimatkan wang negara.

Projek BN yang diberikan secara tender terbuka tidak terjejas dan akan diteruskan.

Penjimatan RM 50.3 Billion Untuk Negara Hasil Perundingan Semula Projek-projek RT BN

Keputusan Kabinet PH memotong 10 peratus daripada semua projek RT oleh BN membabitkan 121 projek, dan berjaya menjimatkan dana negara sebanyak RM800 juta.

Penjimatan RM800 juta ini belum lagi mengambil kira penjimatan lebih besar sebanyak RM49.5 bilion hasil daripada perundingan semula projek mega BN yang diberikan secara RT, seperti projek ECRL, MRT2, LRT3 dan Pan-Borneo Sarawak.

Penjimatan keseluruhan kepada negara hasil perundingan semula projek-projek RT BN ialah sebanyak RM50.3 bilion.

Itulah sebabnya orang awam secara umumnya tidak mempercayai Zuraida, apabila beliau sebut bahawa beliau tidak tahu tentang PSPTB ini.

Memang ada surat permohonan daripada Ketua Setiausaha KPKT kepada MOF agar PSPTB dijalankan secara rundingan terus.

Tidak mungkin projek sebesar ini diluluskan tanpa pengetahuan Zuraida. Sekiranya benar permohonan dibuat tanpa pengetahuan Zuraida, KSU boleh dikenakan tindakan disiplin.

Saya tidak percaya bahawa KSU KPKT ialah seorang yang sanggup bertindak “khianat” sedemikian walaupun terhadap seorang Menteri “pengkhianat” PH.

Mana-mana cadangan atau permohonan kepada MOF yang berkaitan dengan KPKT, ia akan dirujuk dahulu kepada KPKT untuk proses seterusnya.

Sekiranya ada surat arahan daripada saya, Zuraida sudah tentu akan mendedahkannya jauh lebih awal.

Kegagalan Zuraida berbuat demikian hanya membuktikan siapa yang berani kerana benar, siapa pula yang takut kerana salah. — Roketkini