Berita, Rencana

‘Kerajaan PN jelas sudah ditipu Goldman Sachs’ – Guan Eng

Oleh Lim Guan Eng

(Ahli Parlimen Bagan dan Setiausaha Agung DAP)

Goldman Sachs (GS) sudah tentu sedang bergembira berikutan laporan berita bahawa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) berusaha untuk mendapatkan semula aset tambahan bernilai USD300 juta (RM1.2 bilion) yang didakwa berkaitan dengan skandal 1MDB.

Aset ini dikesan ke akaun escrow di United Kingdom.

Tindakan terbaru ini menjadikan nilai keseluruhan aset yang diperoleh semula oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berhubung skandal itu kepada USD2.1 bilion – dan mengesahkan bahawa GS hanya perlu membayar USD2.5 bilion, dan bukan USD3.9 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Setakat ini Amerika Syarikat telah mendapatkan semula atau membantu Malaysia mendapatkan semula aset bernilai hampir USD1.1 bilion.

GS dengan bijak telah mendapatkan tawaran yang menguntungkan atas kerugian kerajaan Malaysia, bagi menyelesaikan penglibatan jenayah GS untuk menyeleweng 1MDB bersama dengan pemimpin Malaysia dan kroni mereka.

Sebagai pertukaran, tuduhan jenayah terhadap 17 pengarah dan bekas pengarah GS digugurkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

GS akhirnya akan membayar USD2.5 bilion kepada kerajaan Malaysia dan bukan USD3.9 bilion, kerana jaminan USD1.4 bilion adalah daripada aset berkaitan 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa kerajaan seluruh dunia.

Fakta menunjukkan negara AS sahaja telah berusaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB sebanyak USD2.1 bilion dan telah mendapatkan semula atau membantu Malaysia mendapatkan semula hampir USD1.1 bilion,yang  jelas melebihi jaminan USD1.4 bilion yang diberikan oleh GS.

Bahkan GS secara terbuka menegaskan bahawa jaminan USD1.4 bilion yang akan diterima oleh Malaysia daripada aset berkaitan 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa kerajaan seluruh dunia, tidak akan menyebabkan GS melakukan pembayaran yang besar.

Besar kemungkinan perbelanjaan GS hanya terhad kepada pembayaran tunai USD2.5 bilion yang dijanji oleh GS.

Kerajaan Persekutuan sekarang dengan jelas sudah ditipu oleh GS ketika ia sepatutnya berpegang pada tuntutan kerajaan PH untuk pengembalian penuh sekurang-kurangnya USD7.5 bilion.

Dengan bersetuju untuk hanya USD2.5 bilion atau sepertiga daripada tuntutan asal USD7.5 bilion, Kementerian Kewangan telah menggadai kepentingan rakyat.

Jabatan Kehakiman AS mengatakan pihaknya juga sedang mendapatkan daripada Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood dan anak tiri Najib Razak, dana lebih dari USD4 juta yang dapat dikesan ada kaitan aset yang diseleweng daripada 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia secara kontroversinya telah menggugurkan pertuduhan terhadap Riza setelah dia bersetuju untuk membantu mendapatkan semula hanya sebahagian wang yang dicuri.

Ini mengukuhkan dakwaan bahawa Kerajaan PN tidak ada akauntabiliti awam dan ketelusan dalam perkara melibatkan kepentingan awam. — Roketkini.com