Berita

Kabinet digesa bincang berhubung Batu Sumpah Keningau Rabu ini

Kabinet perlu membincangkan berhubung Batu Sumpah Keningau dan ketiga-tiga janjinya mengenai kebebasan beragama, hal ehwal tanah serta adat istiadat Orang Asal sebagai agenda Jawatankuasa Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada Rabu ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, ketiadaan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada acara peringatan Batu Sumpah Keningau pada Hari Malaysia yang lalu, sedangkan papan tanda mengumumkan kehadiran Perdana Menteri telah pun dinaikkan, menimbulkan persoalan kepada keseriusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mempertahankan ketiga-tiga janji batu sumpah berkenaan.

“Adakah Kabinet pada hari Rabu ini juga akan mengambil keputusan penting untuk meletakkan Batu Sumpah Keningau sebagai sebahagian daripada agenda Jawatankuasa Khas MA63?

“Adakah timbalan menteri dalam kerajaan PN, Dr Jeffrey Kitingan bersedia untuk berjanji yang perkara ini akan dilakukan oleh Kabinet pada hari Rabu ini?” soalnya dalam satu kenyataan semalam.

Pada Batu Sumpah Keningau, diukirkan jaminan bersejarah kepada rakyat Sabah, terutamanya yang berada di pedalaman, semasa menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 — mengenai kebebasan beragama, hal ehwal tanah akan selama-lamanya menjadi bidang kuasa kerajaan negeri, dan hak-hak adat akan sentiasa dihormati dan dipelihara oleh kerajaan.

Menurut Kit Siang, memandangkan Jeffrey telah menerima memorandum daripada ketua masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) pada acara peringatan tersebut untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, memorandum itu juga patut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

Beliau memberitahu, Jeffrey perlu memastikan yang Kabinet akan menjadikan Batu Sumpah Keningau sebagai salah satu agenda utama Jawatankuasa Khas MA63.

“Saya berharap, pada hari Rabu ini, satu lagi sejarah bakal dilakarkan dengan Kabinet meletakkan Batu Sumpah Keningau ini sebagai salah satu agenda utama Jawatankuasa Khas MA63.

“Adakah Muhyiddin dan Jeffrey Kitingan akan memastikan perkara ini berlaku pada hari Rabu ini dan mengumumkannya selepas mesyuarat Kabinet?” soalnya. — Roketkini.com