Berita

Kemenangan Warisan Plus dapat paksa kerajaan lanjut moratorium

Kemenangan Warisan Plus pada Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang mungkin dapat memaksa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin untuk berubah fikiran dan melanjutkan tempoh moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP kesal dengan kedegilan Muhyiddin yang enggan menyahut seruan rakyat Malaysia dan komuniti perniagaan untuk melanjutkan mmoratorium pembayaran balik pinjaman bank selama enam bulan lagi, apabila ia tamat pada 30 September.

“Oleh kerana Kerajaan Persekutuan enggan mendengar suara rakyat, maka tekanan daripada luar diperlukan. Mungkin hanya kemenangan Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang yang dapat memaksa Muhyiddin untuk berubah fikiran dan melanjutkan tempoh moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga mantan Menteri Kewangan berkata, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) adalah pertubuhan yang terbaru merayu untuk pelanjutan moratorium berikutan kerugian sebanyak RM11.6 bilion setiap bulan bagi industri pembinaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 18 Mac.

Daripada jumlah tersebut, tambahnya, 29 peratus kerugian disebabkan pengangguran pekerja industri kerana projek pembinaan terpaksa dihentikan.

Jelasnya, apa yang penting, adalah permintaan MBAM untuk melanjutkan moratorium selama setengah tahun lagi merupakan suatu rayuan bantuan dan tangisan meminta talian hayat, bukan untuk mempromosi tetapi hanya untuk membantu melindungi salah satu sektor ekonomi yang paling penting di negara ini.

“Nilai moratorium pembayaran balik pinjaman yang ditanggung oleh institusi kewangan sejak 1 April dianggarkan berjumlah RM85.8 bilion, di mana RM30 bilion telah memberi manfaat kepada sektor perniagaan sementara RM 55.8 bilion melibatkan individu.

“Bantuan ini penting dalam melindungi mata pencarian, pekerjaan dan perniagaan 8 juta individu dan syarikat,” ujarnya.

Walaupun industri perbankan akan mengalami kerugian sebanyak RM6.4 bilion untuk lanjutan enam bulan lagi, kata Guan Eng, ini dapat ditanggung dengan mudah oleh industri perbankan yang mencatatkan keuntungan sebanyak RM32 bilion pada tahun 2019.

Jika bank-bank tidak rela melakukannya, ujarnya, kerajaan boleh menyuntik RM6.4 bilion untuk membantu 8 juta rakyat dan syarikat Malaysia.

Menurutnya, ini adalah wang yang berbaloi untuk dibelanjakan, dengan nilai berimpak tinggi kepada 8 juta individu dan syarikat Malaysia bernilai RM 86 bilion.

Tambah beliau, Kementerian Sumber Manusia juga telah mendedahkan bahawa akan ada 1 juta rakyat Malaysia yang menganggur pada akhir September, di mana lebih daripada 500,000 orang merupakan belia.

“Kegagalan untuk melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman hanya akan menambah beban kepada 1 juta pekerja Malaysia yang menganggur,” katanya. — Roketkini.com