Berita, Rencana

Batal projek rakyat di Sandakan: Kerajaan PN amal politik balas dendam

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bertindak awal sebelum pilihan raya umum negeri Sabah, untuk menyekat pembiayaan kerajaan Persekutuan dengan memberikan dana yang kurang daripada kerajaan sebelumnya, kepada rakyat Sabah. 

Saya telah dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong bahawa projek khas yang diluluskan untuk Sandakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah dibatalkan atau ditangguhkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Lima projek untuk Sandakan bernilai RM10.6 juta telah dibatalkan pada 8 Julai,

  • RM4.2 juta untuk menaik taraf 24 jambatan di Kampung Sim-Sim,
  • RM4 juta untuk memasang sistem kumbahan di 400 rumah di Kampung Cina Sim-Sim,
  • RM400,000 untuk menaik taraf dewan masyarakat di Tanjong Papat,
  • RM1 juta projek jalan raya di persimpangan Jalan St Monica;  dan
  • RM1 juta untuk memperbaiki rumah orang cacat penglihatan.

Sementara itu, projek naik taraf bernilai RM80 juta untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sandakan yang telah dimulakan kini ditangguhkan, sehingga menimbulkan ketidakpastian apakah ia akan diteruskan. 

Syukur, dana khas untuk Hospital Sandakan sebanyak RM10.6 juta, sekolah-sekolah Sandakan sebanyak RM280,000, RM107,000 untuk gereja, kuil dan masjid sudah diagihkan dan tidak dapat dibatalkan.

Pembatalan projek khas untuk rakyat di Sandakan oleh Kerajaan Persekutuan PN adalah tindakan balas dendam politik yang jelas terhadap kerajaan negeri Warisan Plus yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

PN bukan hanya menghukum rakyat dengan zalim dengan tidak semena-mena. PN juga tidak menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan cadangan Suruhanjaya Cobbold agar Sabah dilayan sebagai rakan kongsi setara. 

Muhyiddin telah mengatakan di Kudat beberapa hari yang lalu bahawa kerajaan Persekutuan hanya dapat memberi bantuan kepada Sabah sejauh mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan Sabah akan mendapat kurang daripada sebelumnya, kerana kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan Plus tidak sehaluan dengan PN. 

Bagaimana Sabah boleh dianggap sebagai rakan kongsi setara jika Perdana Menteri boleh mengugut rakyat Sabah untuk menyekat dana pembangunan yang dijanjikan?

Sekiranya orang cacat penglihatan turut dihukum apabila RM1 juta untuk menaik taraf Rumah Orang Cacat Penglihatan boleh dibatalkan, maka kerajaan Persekutuan PN jelas buta hati terhadap tanggungjawabnya kepada rakyat Sabah dan janji untuk menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Jelas bahawa rakyat Sandakan dan Sabah tidak mempunyai pilihan selain mengundi Warisan Plus untuk menghantar mesej yang jelas dan tanpa ragu-ragu kepada Muhyiddin pada hari mengundi Sabtu ini, bahawa Muhyiddin tidak boleh memangsakan orang Sabah hanya untuk permainan politiknya demi untuk terus berkuasa dengan majoriti nipis 2 kerusi di Parlimen. — Roketkini.com