Berita

Muhyiddin perlu jawab dua persoalan tentang Sabah

Veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini meminta Perdana Menteri. Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab dua persoalan berkaitan Sabah.

  1. Mengapa Muhyiddin tidak hadir ke Keningau 16 September lalu pada satu acara memperingati Batu Sumpah Keningau?
  1. Adakah Kabinet dalam mesyuaratnya semalam telah memutuskan untuk meletakkan Batu Sumpah Keningau dan ketiga-tiga janjinya sebagai antara agenda utama Jawatankuasa Khas Perjanjian Malaysia (MA63)?

“Jika Muhyiddin tidak bersedia untuk menjawab kedua-dua persoalan ini kepada rakyat Sabah sebelum hari pengundian pada 26 September, di manakah keikhlasan slogan dan gambar-gambar kempen beliau yang bersepah-sepah di keseluruhan negeri Sabah yang cuba menunjukkan beliau peduli mengenai kepentingan Sabah?” soalnya.

Pada Batu Sumpah Keningau, diukirkan jaminan bersejarah kepada rakyat Sabah, terutamanya yang berada di pedalaman, semasa menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 — mengenai kebebasan beragama, hal ehwal tanah akan selama-lamanya menjadi bidang kuasa kerajaan negeri, dan hak-hak adat akan sentiasa dihormati dan dipelihara oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Kit Siang mengajak semua pihak memberikan ruang kepada rakyat Sabah untuk fokus terhadap pilihan raya negeri mereka sehinggalah keputusannya dikeluarkan.

Kata beliau, ini dengan harapan Datuk Seri Shafie Apdal dapat terus menjadi Ketua Menteri Sabah dengan kemenangan majoriti dua-pertiga untuk Warisan Plus untuk menghapuskan budaya katak politik buat selama-lamanya di Sabah dan di Malaysia. — Roketkini.com