Berita, Rencana

Tabika ‘elit’ satu diskriminasi

Oleh Hannah Yeoh

(Ahli Parlimen Segambut)

Kerajaan Persekutuan harus berusaha meningkatkan kualiti pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak dan bukannya mewujudkan serta melebarkan lagi jurang di kalangan kanak-kanak. Nama Tabika “elit” itu sendiri adalah suatu diskriminasi.

Cadangan Tabika elit ini bersifat ad hoc, tergesa-gesa dan bukanlah penyelesaian yang komprehensif untuk pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak.

Sekiranya kepemimpinan baharu dalam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak memainkan peranan utama dalam membincangkan perkara yang sebegitu penting seperti ini, ia benar-benar membazirkan wang rakyat dan akan mewujudkan jurang yang lebih besar di kalangan anak-anak di luar bandar.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Putrajaya telah bercadang mewujudkan sebuah agensi khas bagi mengawal selia semua institusi pendidikan awal kanak-kanak.

Ini kerana pada masa ini, semua institusi tersebut ditadbir oleh kementerian yang berbeza. Taska atau pusat jagaan kanak-kanak berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sementara Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) berada di bawah Kementerian Pendidikan. Tabika berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, sementara Kementerian Perpaduan pula memiliki Taska Perpaduan (taman asuhan kanak-kanak perpaduan).

Terdapat kerajaan negeri yang turut mempunyai institusi pra-sekolah mereka sendiri.

Jadi semasa pentadbiran PH, kami sudah pun mengadakan pertemuan dengan keempat-empat kementerian tersebut dan mencadangkan ianya diserahkan kepada Kementerian Pendidikan, ini bertujuan melancarkan peralihan ketika kanak-kanak berusia tujuh tahun. Mesyuarat pertama telah diadakan dan Kementerian Pendidikan telah diminta untuk mengkaji secara mendalam mengenai cadangan ini. Cadangan ini juga sebenarnya selari dengan idea penubuhan Agensi Kanak-Kanak yang akan menjadi satu-satunya pihak yang mentadbir dan mengawal selia hal ehwal kanak-kanak.

Jika tidak, ketika Kementerian Pendidikan menerima kemasukan kanak-kanak Darjah Satu, mereka akan berdepan dengan pelbagai jenis asas permulaan yang berbeza untuk kanak-kanak. — Roketkini.com