Berita, Rencana

Warisan Plus catat prestasi membanggakan

Oleh Nor Miswary Ramli

(Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Segambut)

Warisan Plus mencatatkan prestasi yang membanggakan walaupun gagal membentuk sebuah Kerajaan di Sabah. Kekalahan membentuk Kerajaan membantutkan usaha kita menyambung kerja-kerja yang tertangguh akibat cubaan ‘rampasan kuasa’ oleh Perikatan Nasional.

Memang sesuatu yang sangat perit menerima kegagalan setelah pelbagai usaha telah dicurahkan, apatah lagi kekalahan kepada mereka yang punyai senarai panjang rekod pengkhianatan ke atas rakyat – tentunya lebih sukar untuk kita terima.

Namun tulisan ini bukan untuk menipu diri dan menafikan kelemahan yang ada sehingga kita boleh lupa dan tidak pula bermuhasabah diri. Ya, muhasabah akan membantu kita memperbaiki dan meningkatkan prestasi, jauh sekali menjadikan kita angkuh sehingga lupa diri.

Biar apa pun tafsiran bagaimana kemenangan dapat mereka capai, tetapi ia tetap datang dari suara rakyat Sabah yang pastinya wajar kita hormati.

Cuma, disebalik kekalahan membentuk kerajaan di Sabah, Shafie Apdal dan Warisan plus telah ‘menang’ lebih awal dan ia adalah ‘kemenangan’ paling penting selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah di Putrajaya dan tumbang kemudiannya akibat Langkah Sheraton.

Ketika Musa Aman mendakwa mempunyai cukup majoriti mudah untuk mengambil alih dan membentuk Kerajaan Sabah pada 29 Julai, Shafie Apdal dilihat tidak teragak-agak untuk mengembalikan mandat yang diperolehi oleh beliau dan Warisan Plus walaupun beliau boleh melakukan apa yang dilakukan oleh Musa Aman demi mempertahankan kedudukannya sebagai sebuah kerajaan di Sabah.

Shafie Apdal sedar, sebuah kerajaan yang adil dan telus tidak harus dibina atas nama pengkhianatan. Memulangkan semula mandat kepada rakyat Sabah bagi menentukan siapa yang berhak menjadi kerajaan adalah risiko paling besar yang terpaksa beliau dan akan-rakan sekutu Warisan ambil.

Tindakan beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri dan mengadakan pilihan raya negeri bukanlah disebabkan dendam peribadi akibat pengkhianatan yang dilakukan ke atas dirinya dan kerajaan pimpinannya. Bukan.

Ia cuma petanda sebahagian daripada sifat kepimpinan yang ada pada dirinya dan rakan-rakan sekutunya dalam Warisan Plus. ‘Kemenangan’ besar yang beliau perolehi daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini ialah kejayaan mendidik ahli politik Perikatan Nasional – bahawa jika kami perlu menghadapi saat getir seperti pengkhianatan ini sekali lagi, kami tidak sesekali teragak-agak dan tanpa ragu-ragu memulangkannya semula kepada rakyat untuk menentukannya. Dan itulah kemenangan yang sebenarnya. — Roketkini.com