Berita

Kes Covid-19 meningkat: Muhyiddin gagal tunjuk kepimpinan

Ucapan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam gagal menunjukkan sebarang kepimpinan yang sangat diperlukan di saat yang begitu genting buat negara.

Tegas Ahli Dewan Negara, Liew Chin Tong, peningkatan kes Covid-19 yang begitu mendadak memerlukan penyelesaian bukan jenaka kosong. 

“Pun begitu sang Perdana Menteri berasa sesuai untuk berjenaka kononnya si ‘abah’ akan menggunakan rotan sekarang, sedangkan sepatutnya yang disebat adalah para VIP seperti menteri Khairuddin Aman Razali yang melanggar SOP,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Untuk rekod, Khairuddin sebelum ini dilaporkan gagal melakukan kuarantin kendiri 14 hari selepas pulang daripada kunjungan ke Turki.

Ucapan Muhyiddin juga, kata Chin Tong, mengundang kemarahan rakyat berikutan seorang bayi berusia setahun semalam dilaporkan menjadi korban termuda jangkitan Covid-19 di negara ini. 

“Namun tiada sebarang permohonan maaf. 

“Kita bukan mahu mencari salah, tetapi suatu permohonan maaf kerana melakukan rampasan kuasa itu setidak-tidaknya akan melunakkan sentimen awam, selain permohonan maaf atas keengganan menteri-menteri beliau yang melanggar SOP,” tegasnya yang juga Pengerusi DAP Johor. 

Muhyiddin dalam ucapannya semalam mengaku bahawa peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 adalah disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Untuk rekod, PRN Sabah terpaksa diadakan selepas berlakunya cubaan kudeta oleh Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan bekas ketua menteri, Musa Aman. — Roketkini.com