Berita, Rencana

Sudah masanya Muhyiddin lepas jawatan PM secara terhormat

Oleh Shahrul Shahabudin

(Naib Setiausaha DAP Kubu)

Di saat penularan pandemik Covid-19 di Malaysia yang kian meningkat saban hari sejak beberapa minggu yang lepas sehingga mencecah angka 691 (rekod kebangsaan sehingga 6 Oktober 2020), rakyat Malaysia amat mengharapkan suatu kepimpinan penuh tauladan dan karisma seperti Winston Churchill & Franklin D. Roosevelt sewaktu Perang Dunia ke-2 buat negara masing-masing.

Kepimpinan seperti ini amatlah mustahak seiring dengan gambaran yang pernah diutarakan oleh saudara Liew Chin Tong yang menyifatkan krisis pandemik Covid-19 ini persis “war time crisis” yang memerlukan fokus dan usaha yang lebih serta jitu daripada kerajaan bagi mengurangkan kesan buruk dari segi ekonomi terutamanya sekali.

Namun yang demikian, di saat ini Malaysia hanya dicemari dengan gelagat kepimpinan taraf rimba dalam kalangan pimpinan tertinggi negara. Pimpinan melalui tauladan yang pernah disuarakan oleh Doktor Musa Nordin tempoh hari nampaknya tidak diambil hirau oleh ahli-ahli kabinet abah.

Bermula dengan tingkah laku sumbang Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Ustaz Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS) yang tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki. Tidak ada tindakan yang benar-benar tegas diambil oleh Perdana Menteri bagi menunjukkan tauladan yang baik kepada rakyat. Sekadar teguran sahaja diberikan mungkin kerana beliau takut akan menimbulkan kemarahan rakan kongsinya, PAS di saat majoriti yang dimiliki oleh Muhyiddin masih lagi berlum terbukti.

Selain itu, tingkah laku para pimpinan Perikatan Nasional dan UMNO sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada dua minggu laulu juga amat mendukacitakan. Rata-rata pimpinan utama mereka tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, tidak memakai topeng muka dan tidak melakukan penjarakan sosial, akhirnya menjadi bukti betapa mereka tidak menunjukkan tauladan yang cemerlang kepada rakyat yang sedang memerhati. Sekali lagi, tiada sebarang tindakan tegas diambil Muhyiddin bagi menegakkan keadilan namun beliau sibuk menyalahkan pendatang asing yang telah ditahan serta sibuk ingin merotan rakyat jelata walhal beliau bukan abah kita semua.

Apa yang lebih mengharukan apabila, rakyat biasa dihukum penjara dan didenda RM 1,000 sekiranya melanggar SOP yang dikeluarkan. Jelas, hukuman ini hanya akan dikenakan pada rakyat biasa dan bukannya menteri-menteri kabinet Muhyiddin Yassin. Namun dengan sangat yakin, beliau berkata tiada “double standard” dalam hal ini. Penipu.

Ini belum lagi menyebut ketidakmampuan menteri-menteri kabinet abah seperti Azmin Ali, Noraini Ahmad, Zahidi Zainul Abidin dan ramai lagi dalam menyelesaikan permasalahan rakyat sewaktu krisis Covid-19 yang sedang berlangsung di saat ini.

Sudahlah abah, sila lepaskan jawatan secara terhormat sebelum lebih banyak kerosakan anda lakukan. Malaysia amat memerlukan Perdana Menteri yang sebenar dan bukannya seorang abah yang tidak pernah berkahwin dengan ibu kami semua dan hanya sibuk ingin merotan. — Roketkini.com