Berita

Adun DAP lancar program bantu pelajar memerlukan

Adun Canning, Jenny Choy Tsi Jen melancarkan program ‘Kitar Semula Komputer Kepada Anak Malaysia’ bertujuan untuk memastikan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

Program tersebut, katanya, dilaksanakan bagi membantu pelajar dari keluarga miskin untuk menjalani proses pembelajaran secara atas talian ketika musim pandemik Covid-19.

Jelasnya yang juga Naib Ketua DAPSY, sebanyak 100 set komputer terpakai yang disumbangkan oleh peniaga akan diserahkan kepada pelajar yang memerlukan di sekitar Perak bermula esok.

“Aktiviti-aktiviti sebegini juga akan terus dijalankan supaya dapat mendedahkan golongan yang kurang berkemampuan kepada pembelajaran atas talian dan sekaligus dapat mengurangkan jurang digital.

“Dalam pandemik Covid-19 ini, kita dapat lihat bahawa dari aspek pendidikan, terdapat banyak kolej dan universiti, sekolah menengah dan mahupun sekolah rendah telah memulakan proses pelajaran dan pembelajaran (pdp) secara atas talian.

“Akan tetapi, bukan setiap keluarga berkemampuan untuk membeli komputer sebagai alat pembelajaran bagi anak-anak,” jelas beliau dalam kenyataan, hari ini.

Jenny juga menyeru agar lebih ramai peniaga yang mempunyai rancangan menggantikan kumpulan komputer yang lama untuk terlibat dalam program ini.

Bagi yang berminat untuk menderma dan membuat sumbangan komputer, boleh menghubungi beliau melalui talian hotline 010-2138907. — Roketkini.