Berita

Covid-19: Menteri Dalam Negeri digesa tingkat usaha lindungi anggota polis

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin untuk lebih serius menambah baik kebajikan anggota polis berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di kalangan petugas barisan hadapan.

Katanya, ini termasuklah keperluan dalam memastikan tempat kerja dan kuarters perumahan mereka tidak sesak bagi mengurangkan kebarangkalian penyebaran wabak tersebut.

“Bolehkah anggota polis kita mengamalkan SOP Covid-19 dengan mempraktikkan jarak sosial di tempat kerja mereka sekarang?

“Banyak balai polis dan kuarters perumahan mereka didapati kurang memuaskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Awal minggu ini, seramai 147 anggota polis dilaporkan dijangkiti Covid-19, manakala 106 ahli keluarga dan 10 kakitangan awam polis direkodkan turut terkena jangkitan.

Tambah Hannah yang juga Naib Ketua Wanita DAP, tanggungjawab melindungi barisan hadapan adalah komponen terpenting dalam memerangi Covid-19.

Oleh itu, katanya, kerajaan harus meningkatkan usaha melindungi barisan hadapan yang setiap hari membahayakan nyawa mereka bagi memastikan keselamatan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya mendesak Menteri Dalam Negeri supaya memastikan alat pelindung diri disediakan secukupnya termasuk alat pengimbas suhu, pelitup muka serta pembersih tangan untuk anggota polis kita di tempat kerja dan ketika mereka bertugas dimana-mana pusat bergerak,” tegasnya. — Roketkini.com