Berita

Langgar SOP Covid-19: Khairuddin perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa supaya Mohd Khairuddin Aman Razali dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana tidak menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang daripada lawatan kerja ke Turki.

Kata Kita Siang, tindakan tegas itu perlu diambil kerana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu mengancam kesihatan dan nyawa Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat pada Julai lalu.

Beliau turut memberikan notis untuk membangkitkan isu pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 membabitkan pemimpin PAS itu dalam persidangan Parlimen November depan.

“Adakah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membentangkan usul untuk perkara ini?

“Adakah beliau tidak peduli yang tidak ada sebarang tindakan telah diambil ke atas kes Khairuddin ini, walaupun tiga bulan sudah berlalu sejak beliau melanggar SOP kuarantin Covid-19 pada 7 Julai yang lalu?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Kit Siang turut membangkitkan persoalan sama ada tindakan berdiam diri Muhyiddin berhubung isu tersebut disebabkan pemimpin Bersatu itu bimbang PAS akan menarik sokongan terhadap beliau.

“Atau adakah Muhyiddin akan terus dipegang sebagai tebusan oleh Khairuddin dan para menteri dan timbalan menteri PAS, memandangkan kerajaan Muhyiddin ini akan tumbang jika PAS menarik sokongan mereka, terutamanya dalam masa di mana UMNO sedang mempertimbangkan untuk menarik semula sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional dan mahukan satu tawaran baharu,” katanya.

Malah katanya yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Muhyiddin sendiri mengambil masa selama seminggu sebelum memberikan sebarang komen mengenai kesalahan Khairuddin ini.

“Dalam keadaan seperti ini, persoalan mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang dipegang sebagai tebusan oleh Khairuddin dan para pemimpin PAS untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka bagi memastikan sokongan berterusan kepada beliau adalah satu persoalan yang sah dan memerlukan satu jawapan,” katanya.

Tambahnya, amat menyedihkan apabila kertas siasatan berhubung kes langgar SOP membabitkan pemimpin PAS itu dilayan seperti bulu tangkis — dilempar di antara pihak Polis dan Pejabat Pendakwa Raya berulang kali.

“Perkara ini tidak membantu imej pihak polis langsung, untuk sebuah kes yang sangat mudah di mana siasatan ke atas kes Khairuddin ini telah dibuka sembilan minggu yang lalu.

“Jika pihak polis tidak dapat untuk menyelesaikan siasatan mereka bagi membolehkan Bahagian Pendakwaan Pejabat Pendakwa Raya membuat keputusan, bagaimanakah rakyat hendak percaya dan yakin dengan kebolehan pihak Polis untuk menyelesaikan kes-kes yang lebih rumit?” ujarnya.

Ketika penularan Covid-19 semakin buruk di seluruh dunia, Tegas Kit Siang, tidak ada mana-mana menteri yang mengingkari SOP layak kekal sebagai menteri.

“Adakah PAS tidak mempunyai mana-mana Ahli Parlimen yang lain untuk menggantikan Khairuddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi?” soalnya. — Roketkini.com