Oleh Lim Guan Eng
(Setiausaha Agung DAP)
Speaker Parlimen, Azhar Azizan Harun harus memenuhi peranannya untuk melindungi keagungan, kedaulatan dan kemurnian Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebagai pemelihara demokrasi. Ini memerlukan Speaker secara tegas dan teguh menentang segala usaha untuk melemahkan peranan Parlimen sebagai institusi bina-bangsa dan asas kepada demokrasi.
DAP kesal kerana kurangnya sikap tegas oleh Speaker ketika BN mencadangkan prorogasi Parlimen, yang dinyatakan oleh BN adalah penggantungan Parlimen untuk menjaga ketenteraman awam, kelangsungan ekonomi dan kestabilan politik. Usul seperti itu oleh BN adalah keterlaluan dan mesti ditentang dan dikutuk, apabila Parlimen dan demokrasi telah meningkatkan kestabilan politik negara dan perpaduan nasional serta mengembangkan ekonomi kita.
Dengan mencuba untuk merampas mandat demokratik rakyat, menggantung Parlimen tidak jauh berbeza dengan mewujudkan kerajaan “mirip diktator” yang tidak dipilih. Selanjutnya ini juga merupakan serangan langsung terhadap Perlembagaan Persekutuan kita, yang meletakkan Parlimen di peringkat teratas daripada 3 cabang kerajaan.
Speaker Parlimen telah menerima kritikan keras kerana menolak untuk membenarkan usul tidak percaya dibentangkan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedangkan usul sebegini didahulukan, diutamakan, dan dibenarkan di negara demokratik yang lain. Dia jelas telah kompromi dalam peranannya yang sepatutnya bebas, tidak memihak dan berkecuali dengan apa yang jelas dilihat sebagai tindakan politik, demi menyelamatkan Kerajaan Persekutuan sekarang dengan alasan yang salah iaitu mengutamakan urusan kerajaan.
Arahan Parlimen baru-baru ini menyatakan bahawa liputan sidang Dewan Rakyat dan pembentangan belanjawan akan terhad kepada hanya 15 agensi media hanya memburukkan lagi keadaan demokrasi yang semakin dihakis. Tindakan menghalang media daripada membuat liputan penuh sidang Parlimen dan seterusnya pembentangan belanjawan pada bulan depan seolah-olah menggambarkan semua pengamal media sebagai berisiko tinggi COVID-19 adalah tidak wajar dan tidak adil, apabila terbukti bahawa anggota pentadbiran mempunyai risiko yang lebih tinggi.
Mengehadkan liputan terbuka dan bebas Parlimen terutama hak kebebasan maklumat, juga akan membahayakan elemen penting dalam menyokong amalan demokrasi. COVID-19 tidak patut mengakibatkan kebebasan media terancam, sebaliknya laporan bebas oleh media dapat menyoroti sebarang kegagalan dan kelemahan termasuklah dalam menguruskan krisis kesihatan COVID-19.
DAP menggesa Speaker untuk tidak berkompromi peranan dan status khas Parlimen tetapi menepati janji-janji beliau yang telah direkodkan sebelum ini untuk menegakkan keagungan, kedaulatan dan kemurnian Parlimen. — Roketkini.com