Berita, Rencana

P. Pinang serius martabat sistem pendidikan Islam, mahu kebajikan guru KAFA ditambah baik

Kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin Pakatan Harapan serius memartabatkan sistem pendidikan Islam di negeri ini.

Justeru itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mewujudkan skim perkhidmatan serta gred gaji standard untuk guru Kelas Agama & Fardhu Ain (KAFA).

Ia selaras dengan apa yang dinikmati oleh tenaga pengajar yang melaksanakan program Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardhu Ain (j-QAF) di sekolah kerajaan, tambahnya.

“Saya berasa perkara ini (sistem gred dan gaji standard guru KAFA) perlu diberi perhatian kerana guru-guru KAFA juga memberi sumbangan yang besar untuk pembentukkan modal insan melalui pendidikan agama (Islam), dan ini merupakan suatu pengiktirafan sumbangan mereka.

“Setakat ini tidak ada skim perkhidmatan, kalau diwujudkan (skim perkhidmatan), saya rasa ia akan menyumbang kepada kebajikan guru-guru (KAFA) sendiri serta pendidikan Islam secara keseluruhannya.

“Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha ini demi kebaikan bersama keseluruhan 207 buah kelas KAFA dengan hampir 46,516 pelajar serta kira-kira 1,587 penyelia dan guru KAFA,” jelasnya seperti dipetik Buletin Mutiara.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata perkara tersebut akan dibincangkan dengan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) dan pihak berwajib lain sebelum dibawa ke Putrajaya. — Roketkini.com