Berita

Ribuan hilang kerja jika kerajaan Muhyiddin terus sibuk berpolitik

Ribuan rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan sekiranya kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin terus sibuk berpolitik.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata bahawa dijangka lebih 51,000 kedai runcit di negara ini akan ditutup dalam empat ke lima bulan ke depan.

“Ini disebabkan oleh kesan awal perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), dan perniagaan mula beralih ke e-dagang.

“Ini secara langsung boleh mengakibatkan kehilangan pekerjaan melebihi 150,000 pekerja.

“Sektor peruncitan mungkin menghadapi penguncupan sistemik dalam jangka waktu tertentu kerana berkaitan dengan industri pelancongan yang paling terjejas akibat krisis Covid-19,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya yang juga bekas Menteri Sumber Manusia, di sebalik apa yang berlaku, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin pula terus sibuk berpolitik dan gagal membantu industri peruncitan ini.

“Kerajaan begitu sibuk merancang pengambilalihan Sabah dan merancang untuk menyelamatkan majoriti tipisnya di Parlimen sehingga telah mengabaikan kebajikan pekerja dan perniagaan di Malaysia,” ujarnya.

Jelas Kula, kerajaan telah memperuntukkan AS$3.21 bilion (RM13.8 bilion) untuk subsidi upah dan sebagai perbandingan, Singapura pula memperuntukkan AS$14.6 bilion untuk memberi subsidi upah pekerja dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi.

“Subsidi upah di Singapura merangkumi semua pekerja, manakala di Malaysia hanya mereka yang berpendapatan bawah RM4,000 layak mendapat subsidi gaji.

“Kelas profesional dan teknikal yang merangkumi 59 peratus daripada mereka yang kehilangan pekerjaan pula tidak dilindungi.
“Walaupun kadar pengangguran turun dari 5.3 peratus menjadi 4.7 peratus baru-baru ini, ia tidak menggambarkan keadaan sebenar perniagaan dan buruh di lapangan.

“Penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja masih berterusan,” jelasnya.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan untuk memberikan perhatian yang serius dan mengambil lebih banyak langkah untuk membendung masalah pemberhentian dan penutupan perniagaan.

Beliau turut mendesak agar kerajaan PN melanjutkan moratorium selama enam bulan lagi. — Roketkini