Berita, Rencana

Belanjawan Perpaduan 2021 perlu sediakan perisai ekonomi Covid-19 untuk selamatkan pekerjaan, mata pencarian

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus memulakan proses perundingan Belanjawan Perpaduan 2021 dengan parti-parti pembangkang, yang merangkumi dasar kewangan untuk memastikan bahawa belanjawan ini memenuhi aspirasi Yang di-Pertuan Agong untuk mengatasi peningkatan terbaru jangkitan COVID-19 dan membantu ekonomi rakyat Malaysia.

Tidak ada pihak yang dapat mempertikaikan bahawa lebih banyak dana harus diperuntukkan untuk barisan depan negara yang sedang memerangi gelombang ketiga jangkitan COVID-19 ini.

Walau bagaimanapun, bantuan kewangan untuk membantu sektor ekonomi negara dapat membantu menyusun belanjawan perpaduan yang menyatukan semua rakyat Malaysia.

Belanjawan perpaduan tersebut mesti dengan jelas dan tegas menyediakan perisai ekonomi COVID-19 berjumlah RM31.4 bilion untuk menyelamatkan pekerjaan dan mata pencarian serta perniagaan yang menghadapi penutupan. 

Penguncupan KDNK 17.1% pada suku kedua tahun ini berserta kenyataan oleh Menteri Sumber Manusia bahawa 1 juta rakyat Malaysia dijangka menganggur menjelang September 2020 telah menunjukkan krisis ekonomi yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia golongan pekerja.

Perisai ekonomi Belanjawan Perpaduan  2021 akan menelan belanja RM31.4 bilion yang terdiri daripada langkah tiga serampang iaitu bantuan kebajikan bulanan RM1,000 termasuk kepada mereka yang menganggur, lanjutan automatik moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan lagi serta insentif pengambilan pekerja untuk majikan dan pekerja. 

RM31.4 bilion ini tidak begitu besar berbanding dengan pakej RM305 bilion di bawah KitaPrihatin, yang nampaknya tidak memberikan impak yang diinginkan untuk menghidupkan semula ekonomi.

Pertama di bawah perisai ekonomi belanjawan perpaduan, perlu ada perlaksanaan segera kenaikan bantuan kebajikan bulanan daripada RM200-300 kepada RM1,000 seperti dijanjikan oleh Perdana Menteri pada 30 Ogos 2020 di Sandakan, yang akan menelan belanja RM12 bilion. Ini akan menyediakan jaringan keselamatan segera bagi pekerja yang menganggur. 

Kedua, lanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan lagi apabila ia tamat pada 30 September, yang berjumlah RM6.4 bilion yang akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia.

Berbanding dengan lanjutan moratorium pinjaman bank dan bantuan bank bersasar selepas 30 September, yang hanya membantu 1.4 juta peminjam. 

Ramai yang mengadu bahawa ini tidak memanfaatkan mereka, tetapi hanya menguntungkan institusi kewangan dengan sekadar memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman, dan justeru memerlukan pembayaran faedah yang lebih tinggi.

Ketiga, insentif pengambilan pekerja untuk jangka masa 2 tahun, di bawah MalaysiaKerja iaitu RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 sebulan kepada majikan untuk mendorong mereka mengambil pekerja tempatan seperti yang dicadangkan oleh PH dalam Belanjawan 2020. 

Pelebaran skim ini untuk merangkumi 600,000 pekerja Malaysia dan majikan mereka akan menelan belanja RM13 bilion.  Ini juga akan membantu lebih 500,000 belia yang menganggur, yang merupakan sebahagian besar daripada kadar pengangguran 4.9%.

Untuk menyelamatkan dan mengeluarkan ekonomi kita daripada kemelesetan ekonomi sekarang, fokus kewangan kerajaan harus beralih daripada mengawal tahap hutang dan defisit fiskal negara, kepada meminjam lebih banyak wang. 

Obsesi untuk mengawal defisit negara untuk melindungi penarafan kredit negara perlu memberi laluan kepada strategi meminjam lebih banyak wang demi menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat Malaysia. – Roketkini.com