Berita, Rencana

Tidak suka politik kotor? Mengapa tidak kita yang mengubahnya? – Mahasiswa Roket

Permainan politik lapuk yang masih subur dalam lapangan politik tanah air menjadi sebab utama Mahasiswa Roket ditubuhkan. Ini bertujuan untuk menggesa ahli-ahli politik berhenti bermain politik dan menunjukkan tindakan sebenar sebagai wakil rakyat.

“Sekiranya kita tidak suka politik kotor, mengapa kita tidak mengubahnya sendiri?” Soal Presiden Mahasiswa Roket, Calvin Yeoh kepada anak muda hari ini yang sering kali mengelak daripada membincangkan masalah politik mutakhir yang melanda negara.

Pelajar tahun ke-3 Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu juga berkata, dapat dilihat bahawa ahli-ahli politik kebanyakannya meletakkan keuntungan politik sebagai aspirasi utama mereka dan membelakangkan kepentingan rakyat.

Menurut Calvin, sudah tiba masanya anak muda bangkit dan menceburkan diri dalam bidang politik, agar corak pentadbiran negara dapat berubah ke arah yang kita sendiri impikan.

Mahasiswa Roket berdiri dengan penuh bangga sebagai wakil suara mahasiswa Parti Tindakan Demokratik (DAP), tidak seperti persatuan pelajar lain yang sering berselindung sebagai ‘wakil pelajar neutral’ walaupun jelas wujud kecenderungan terhadap parti-parti politik lain.

Penubuhan Mahasiswa Roket ini juga menunjukkan kesediaan DAP dalam memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin baru untuk bangkit mengubah landskap politik negara.

“Memulihkan kesejahteraan pelajar, sistem pendidikan Malaysia dan banyak lagi masalah kritikal lain yang melanda mahasiswa-mahasisiwi adalah perkara yang akan kita cuba atasi. Pada akhirnya, ini adalah pertarungan berterusan oleh para mahasiswa untuk mahasiswa di seluruh Malaysia.” Tegas Calvin yang juga merupakan Pengasas dan Presiden kepada Young Democrats Malaysia.

Buat masa ini, Mahasiswa Roket mempunyai ahli daripada 17 buah IPTA, IPTS dan beberapa universiti luar negara seperti di Australia, United Kingdom dan lain-lain. Semangat wakil suara mahasiswa ini diambil dari semangat parti DAP sendiri yang sama-sama bertekad mahu menyelamatkan negara.

Bagi mahasiswa-mahasiswi yang berminat menyertai Mahasiswa Roket dalam perjalanan untuk memperjuangkan nasib pelajar-pelajar universiti, berjuang untuk peluang kesamarataan dan ke arah Malaysia yang lebih baik, layari laman-laman sosial Mahasiswa Roket untuk maklumat lanjut. — Roketkini.com