Berita, Rencana

Bersatu, Armada perlu tunjuk kematangan ketika negara dilanda Covid-19

Oleh Chiong Yoke Kong

(Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan)

Saya membidas sekeras-kerasnya kenyataan Pemuda Bersatu (Armada) yang menegaskan bahawa pengisytiharaan darurat merupakan satu-satunya langkah selamat untuk mengelakkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi diadakan.

Semalam, Pengerusi Biro Perundangan Armada Mohamad Siddiq Mohamad Azani telah menyifatkan cadangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan agar semua parti memberi laluan kepada Warisan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi sebagai “tidak munasabah.”

Mohamad Siddiq memberi alasan bahawa sekalipun BN atau PN tidak meletakkan calon pada PRK Batu Sapi kali ini, ia tidak menghalang calon-calon bebas dan parti-parti tempatan lain yang ada di Sabah untuk meletakkan calon mereka.

Saya ingin mengingatkan Mohamad Siddiq bahawa BN, Pakatan Harapan, Parti Cinta Sabah, STAR dan SAPP telah mengumumkan tidak meletakkan calon pada PRK Batu Sapi kali ini.

Sekiranya parti-parti utama dalam negeri tersebut sudi memberi laluan kepada Warisan, tentulah boleh mengurangkan kempen-kempen yang berkemungkinan besar mencemaskan lagi wabak Covid-19.

Kenapa Bersatu begitu terdesak hingga mahu pengisytiharaan darurat di seluruh negara bagi mengelakkan PRK satu kerusi Parlimen? Kenapa Bersatu tidak ingin memberi laluan kepada Warisan demi kebaikan dan kepentingan rakyat dalam waktu ini?

Hal sedemikian membuktikan Bersatu ini sebuah parti yang gila kuasa, kuat berpolitik dan mengabaikan rakyat atau menjadikan rakyat sebagai landasan untuk memenuhi kepentingan peribadi semata-mata.

Saya ingin menasihatkan Bersatu dan Armada supaya mempamerkan kematangan politik dan berhenti bermain politik ketika negara masih lagi diselubungi wabak Covid-19.

Saya juga menyeru kerajaan PN supaya bekerjasama dengan semua parti politik bagi membentuk satu Belanjawan Perpaduan sebagai usaha memikirkan penyelesaian terbaik bagi kesejahteraan rakyat khususnya dalam situasi pandemik Covid-19. — Roketkini.com