Berita, Rencana

Pewartaan Taman Persekutuan Bukit Kiara kejayaan pengundi Segambut

Oleh Hannah Yeoh

(Ahli Parlimen Segambut)

Semasa kempen PRU-14 saya pada 2018, saya telah berjanji untuk memperjuangkan pewartaan Bukit Kiara sebagai sebuah Taman Persekutuan, iaitu sebuah janji yang tidak ditunaikan lebih dari satu dekad oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pewartaan itu penting untuk memastikan “permata” hijau Segambut ini terpelihara dan dilindungi. Berikutan mandat yang diberikan oleh rakyat pada 9 Mei 2018, kami berusaha untuk memenuhi janji pilihan raya ini.

Di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad (PM) and Khalid Samad (Menteri WP), Kabinet Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk mewartakan Taman Persekutuan Bukit Kiara berkeluasan 274.3 ekar.

Ini adalah langkah penting untuk memelihara dan melindungi ruang hijau yang berharga ini, di tengah-tengah Kuala Lumpur untuk generasi masa depan kita. Pewartaan ini melindungi taman tersebut daripada percubaan merampas tanah dan pembangunan yang tidak terancang.

Kronologi Peristiwa

April 2018 – Perjumpaan dengan mantan MP Segambut Lim Lip Eng berhubung isu-isu yang telah beliau perjuangkan di Segambut termasuk pewartaan Bukit Kiara.

5 Mei 2018 – Lawatan pertama saya ke Bukit Kiara dan saya telah membuat janji pilihan raya untuk memperjuang pewartaan Bukit Kiara.

12 Mei 2018 – Satu lawatan penuh di Bukit Kiara bersama Friends of Bukit Kiara, Trails Association of KL & Selangor (TRAKS) dan Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail.

22 Jun 2018 – Mesyuarat pertama bersama pemegang taruh (stakeholders) Bukit Kiara – Friends of Bukit Kiara, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail, TRAKS & Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

10 Ogos 2018 – Surat saya kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan & Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berhubung pewartaan Bukit Kiara.

3 September 2018, 13 November 2018 & 27 November 2018 – Perbincangan dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan Pejabat Tanah Dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP).

17 Oktober 2018 – Perbincangan dengan pemegang taruh berhubung perkembangan proses pewartaan berkenaan.

20 April 2019 – Memberi perkembangan kepada penduduk berhubung pewartaan tersebut pada sambutan Earth Day.

26 November 2019 – Surat saya kepada Menteri WP berhubung pewartaan Bukit Kiara susulan keputusan Kabinet untuk meletakkan Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

2 Disember 2019 – Pengumuman Khalid Samad, Menteri WP pada ketika itu berhubung keputusan Kabinet untuk mewartakan tanah Bukit Kiara berkeluasan 274.3 ekar. Pewartaan ini tidak termasuk pajakan sedia ada di kawasan tersebut.

20 Disember 2019 – Perbincangan dengan Jabatan Landskap Negara dan pemegang taruh Bukit Kiara berhubung garis masa pewartaan dan projek penaiktarafan Bukit Kiara.

9 Mac 2020 & 29 Julai 2020 – Pejabat Peguam Negara (AGC) menerbitkan Warta Kerajaan Persekutuan berhubung pewartaan Taman Persekutuan Bukit Kiara.

Kejayaan pengundi Segambut

Ini adalah satu kejayaan hebat bagi pengundi di Parlimen Segambut dan bahagian yang lebih besar di Kuala Lumpur. – Roketkini.com