Berita, Rencana

Hannah gesa KPWKM segera bantu 2,000 pemohon bantuan kebajikan, tambah tenaga kerja JKM

Oleh Hannah Yeoh

(Ahli Parlimen Segambut dan mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)

Dalam sidang Parlimen pagi tadi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengakui bahawa terdapat lebih daripada 2,000 permohonan bantuan kebajikan JKM yang masih belum diproses di Wilayah Persekutuan.

Ketika era Covid-19, pastinya permohonan bantuan kebajikan akan meningkat kerana ramai yang hilang punca pendapatan.

Beberapa hari yang lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun telah melancarkan satu program baharu iaitu Kembara Prihatin Negara yang menyasarkan 1 juta penerima bantuan.

Saya menggesa Menteri dan Timbalan Menteri KPWKM untuk tidak melancarkan produk atau program baharu jika perkhidmatan asas KPWKM masih belum dapat dikendalikan dengan efektif dalam era Covid-19.

Penjawat awam di peringkat negeri memerlukan banyak bantuan daripada KPWKM peringkat Putrajaya untuk membantu mereka menangani bebanan kerja yang telah bertambah. Mereka merupakan ‘frontliners’ yang belum pernah berhenti bekerja sejak PKP bermula bulan Mac 2020.

Menteri dan Timbalan Menteri seharusnya mencari penyelesaian bagi memperbaiki perkhidmatan asas JKM. Ini adalah kritikal kerana mereka yang memohon dan menunggu bantuan JKM kebanyakannya adalah golongan warga emas, OKU dan keluarga yang mempunyai kanak-kanak.

Saya juga mahu pengesahan sama ada KPWKM telah mengecualikan dengan serta merta golongan pelindung kanak-kanak daripada tugasan administratif atau tugasan lain supaya kes-kes penderaaan kanak-kanak boleh ditangani dengan cepat.

Perkara ini telah saya bangkitkan dalam sidang Parlimen yang lalu. Pelindung kanak-kanak mempunyai tanggungjawab berat supaya tiada kanak-kanak kehilangan nyawa kerana mereka ini tidak mampu menyelamatkan diri daripada keganasan. — Roketkini.com