Berita, Rencana

Hormat semangat federalisme, jangan ketepi mandat Selangor

Oleh Farhan Haziq Mohamed

(Setiausaha DAPSY Damansara)

Saya membidas kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang enggan berkongsi data mentah Covid-19 kepada Kerajaan Negeri Selangor atas alasan kekeliruan dan tafsiran yang berbeza. Alasan ini langsung tidak boleh diterima akal kerana ia jelas bercanggah dengan semangat Federalisme yang mana kerajaan Negeri mempunyai hak untuk menerima data tersebut demi merangka gerak kerja bersepadu menangani pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan diingatkan untuk tidak bermain politik dan mengenepikan peranan kerajaan Selangor untuk mendapatkan maklumat penting daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Perlu diingatkan bahawa segala pelaksanaan SOP di peringkat bawah memerlukan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan yang jelas di bawah bidang kuasa Negeri.

Menteri Kesihatan perlu sedar bahawa kes Covid-19 ini merupakan suatu isu kesihatan awam yang terletak di bawah tanggungjawab bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Oleh sebab itu, kerajaan Negeri menpunyai portfolio kesihatan awam melalui Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor yang disandang oleh Dr Siti Mariah Mahmud.

Atas dasar tanggungjawab tersebut, kerajaan Negeri Selangor terlebih dahulu menubuhkan Selangor Task Force COVID-19 (STFC) pada Mac 2020 bagi mengatur strategi berkesan menangani pandemik Covid-19.

Saya juga tidak faham logik di sebalik keengganan beliau untuk berkongsi data tersebut sedangkan sebelum ini KKM pernah berkongsi data tersebut dengan kerajaan negeri Selangor. Ini bukan kali pertama kerajaan Persekutuan mengenepikan peranan kerajaan Negeri Selangor dalam membuat keputusan berkaitan isu Covid-19. Menteri Besar Selangor juga pernah melahirkan kekecewaan sebelum ini apabila tidak dijemput ke Mesyuarat Covid-19 pada bulan Mac dan Oktober yang lalu.

Hal ini menimbulkan persoalan adakah benar kerajaan Perikatan Nasional serius menangani wabak Covid-19 ini ataupun mahu bermain politik dalam isu yang melibatkan nyawa rakyat Malaysia ini. Seingat saya, kerajaan pimpinan Najib Razak juga pernah mengenepikan perbezaan politik untuk membantu bencana banjir yang berlaku di negeri Pulau Pinang walaupun diperintah oleh parti pembangkang.

Apatah lagi, seluruh kawasan Selangor kini diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat kes yang meningkat secara mendadak. Maka, adalah perlu untuk kerajaan Selangor diberikan maklumat penting agar pihak kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Ahli Dewan Negeri dapat merangka dan menggerak seluruh jentera negeri membendung wabak ini dengan lebih berkesan.

Perlu diingatkan bahawa kegagalan KKM untuk menyalurkan data-data penting kepada kerajaan Selangor menyebabkan penyebaran berita-berita palsu di kalangan rakyat yang menyebabkan lebih banyak kekeliruan dan panik di kalangan masyarakat.

Sebagai contoh, kluster Taman Laut yang berlaku di pasar Seapark telah menimbulkan kekeliruan kerana yang pertamanya nama Taman Laut itu sendiri mengelirukan kerana tiada nama tersebut di kawasan daerah Petaling. Keduanya, kegagalan untuk memberikan data penting menyebabkan pihak Ahli Dewan Negeri & Pihak Berkuasa Tempatan sukar menerangkan kepada penduduk sekitar berkenaan dengan keadaan yang berlaku di kawasan tersebut.

Saya menggesa Menteri Kesihatan bersikap professional dan matang untuk berkongsi data penting ini kepada kerajaan Negeri Selangor dan menghormati mandat kerajaan Negeri Selangor untuk bersama-sama menangani pandemik Covid-19 yang merupakan suatu isu kesihatan awam penting di Selangor.

Ketepikanlah perbezaan politik yang ada demi menjunjung Titah Yang di-Pertuan Agong agar kita semua mengutamakan kepentingan rakyat dalam mendepani bencana yang luar biasa ini. — Roketkini.com