Berita, Rencana

Keputusan tangguh sidang DUN Melaka tidak munasabah – Kerk

Oleh Kerk Chee Yee

(Adun Ayer Keroh)

Saya telah menerima notis pemakluman bahawa persidangan ke-3 (bajet), penggal ke-3, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 tahun 2020 yang dijadualkan bermula pada 9 November 2020 sehingga 11 November 2020 telah ditangguhkan ke 9 Disember 2020 sehingga 11 Disember 2020.

Penangguhan sesi persidangan DUN tersebut diputuskan atas sebab pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri Melaka yang bermula dari 9 November sehingga 6 Disember 2020, seperti yang telah diumumkan semalam.

Penangguhan persidangan DUN atas sebab pelaksanaan PKPB merupakan satu keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa, tidak munasabah serta mengabaikan kepentingan sistem legislatif di peringkat negeri.

Persidangan DUN ini merupakan medium yang membolehkan wakil rakyat membahas, mengkritik dan memberi cadangan tentang segala keputusan dan polisi kerajaan negeri dalam menangani wabak Covid19 di negeri Melaka. Dalam persidangan DUN yang lalu (Mei dan Julai 2020), semua usul tentang Covid19 yang dibawa oleh Adun Pakatan Harapan (PH) telah ditolak oleh Speaker. Tambahan pula, sesi persidangan DUN ini merupakan sesi pembentangan Belanjawan 2021 negeri Melaka. Belanjawan 2021 negeri Melaka ini dikatakan mampu menentukan nasib rakyat negeri Melaka kerana ekonomi yang tidak memuaskan ini memerlukan pelan tindakan yang konstruktif daripada kerajaan negeri.

Walaupun PKPB dilaksanakan di negeri Selangor, sebagai contoh, persidangan DUN negeri Selangor tetap dijalankan dengan pelaksanaan SOP seperti mewajibkan ‘swab-test’ atas ahli-ahli DUN. Parlimen juga berjalan seperti biasa dengan mengamalkan SOP yang bertujuan mengurangkan risiko penyebaran jangkitan wabak Covid-19.

Sekiranya SOP tidak dapat dilaksanakan sempena persidangan DUN Melaka, kerajaan negeri Melaka boleh memilih untuk mengadakan persidangan DUN secara atas talian atau ‘online’.

Sistem legislatif harus dihormati dan diberikan keutamaan. Kerajaan negeri Melaka boleh mencontohi negeri Selangor atau Parlimen dalam mengadakan sesi persidangan DUN/Parlimen sempena PKPB. Penangguhan Persidangan DUN Melaka atas sebab pelaksanaan PKPB tidak munasabah. — Roketkini.com