Berita

Guna peruntukan RM85.5 juta JASA untuk bantu murid memerlukan

Kerajaan Perikatan Nasional digesa menggunakan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berjumlah RM85.5 juta untuk pembelian komputer riba kepada murid yang memerlukan.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, ini lebih-lebih lagi selepas mereka terpaksa meneruskan pembelajaran secara dalam talian selepas semua sekolah ditutup berikutan peningkatan kes Covid-19.

Tambahnya, meskipun kerajaan mengumumkan Tabung CERDIK bagi membantu 150,000 murid di 500 sekolah medapatkan komputer riba, beliau berpendapat inisiatif tersebut adalah “terlalu sedikit dan terlambat”.

Beliau merujuk Kajian Kesediaan Murid oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mendapati 36.9 peratus daripada 893,331 murid tidak mempunyai peranti untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Kita mempunyai keseluruhan 4.7 juta orang murid yang belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Sekiranya 37 peratus daripada jumlah ini tidak mempunyai sebarang peranti bagi mengikuti pembelajaran dalam talian, ini bermakna 1.7 juta unit peranti diperlukan.

“150,000 murid yang bakal menerima komputer riba berbanding 1.7 juta unit peranti yang diperlukan? Apakah usaha lain KPM untuk mengatasi isu ini?

“Selain daripada itu, kita juga kurang pasti bila sumbangan GLC dan GLIC akan diterima Tabung Cerdik.

“Adakah pada Januari 2021? Jun 2021? Ataupun Disember 2021?” katanya yang juga mantan timbalan menteri pendidikan dalam kenyataan, hari ini.

Justeru itu, Nie Ching mencadangkan agar Kerajaan PN mengetepikan agenda politik dan memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan serta pembelajaran murid yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

“Oleh itu, saya cadangkan, gunalah peruntukan JASA yang berjumlah RM85.5 juta kepada KPM untuk pembelian peranti.

“Kalau kita membeli tablet yang berharga RM600 hingga RM800, kita akan dapat 103,875 hingga 142,500 unit tablet untuk murid-murid kita.

“Seperti yang disebut oleh Menteri Kewangan dalam ucapan beliau pada hari Jumaat yang lalu, matlamat pertama Belanjawan 2021 adalah Kesejahteraan Rakyat,” ujarnya. — Roketkini