Berita

DAP Sabah mahu kerajaan perkasa peranan wanita dalam semua sektor

Oleh Fatih Hassan Nordin

Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang menggesa kerajaan Sabah agar memperkasakan peranan wanita di semua sektor termasuk sebagai pembuat dasar.

Katanya, kerajaan Sabah perlu berusaha untuk mencapai sasaran melantik 30 peratus golongan itu di pelbagai peringkat pentadbiran dan sektor kerajaan.

Tegasnya, penglibat wanita dalam pentadbiran harus diberi penekanan kerana golongan tersebut mampu memacu pembangunan dan kemajuan negara.

“(Pun begitu) Sabah masih belum mencapai sasaran kebangsaan dan antarabangsa untuk melantik 30 peratus wanita dalam pelbagai sektor kerajaan,” ujarnya yang juga Adun Kapayan dalam kenyataan, hari ini.

Usaha berkenaan, katanya, boleh dimulakan dengan melantik 30 peratus wanita di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), ketua adat, ketua masyarakat Cina dan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB).

Beliau dalam pada itu turut mendedahkan bahawa hanya seorang wanita yang dilantik untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah menerusi jawapan bertulis yang diterimanya daripada Ketua Menteri.

“Keputusan ini mengecewakan banyak organisasi wanita dan aktivis yang sekian lama mendesak Ketua Menteri untuk melantik sekurang-kurangnya dua Adun kerana ketika ini hanya 9.5% daripada keseluruhan Adun Sabah adalah wanita,” ujarnya. — Roketkini.com