Berita

MP DAP gesa kerajaan tambah baik program subsidi upah untuk sektor terjejas

Oleh Fatih Hassan Nordin

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke menggesa kerajaan menambah baik program subsidi upah bersasar khusus untuk sektor penerbangan, pelancongan dan perhotelan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Tegasnya, kerajaan perlu menaikkan kadar subsidi sehingga 50 peratus daripada gaji bulanan pekerja sektor tersebut dengan jumlah maksimum sebanyak RM4,000.

Katanya, kadar subsidi yang ditetapkan sekarang iaitu sehingga RM600 seorang pekerja dengan had 500 pekerja untuk sebuah syarikat adalah tidak mencukupi. 

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memberikan keutamaan kepada pekerja sektor berkenaan dalam program pengambilan pekerja kontrak MyStep. 

“Untuk flight attendant umpamanya, kerajaan boleh memberikan prioriti kepada mereka dalam pengambilan pekerja kontrak dalam inisiatif MyStep yang menawarkan 35 ribu peluang pekerjaan sementara seperti jururawat dan medical attendant.

“Mereka yang bekerja sebagai cabin crew sebenarnya sangat terlatih dalam emergency response dan first aid dan sudah tentunya boleh ditempatkan di hospital dan klinik-klinik kesihatan,” ujarnya pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan tentang peruntukan RM50 juta untuk tujuan Latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan syarikat penerbangan yang dilihat tidak efektif. 

“Kebanyakan kakitangan syarikat penerbangan yang diberhentikan adalah pekerja kontrak dan mereka tidak mendapat sebarang pampasan daripada syarikat. 

“RM50 juta itu sebenarnya lebih memberikan manfaat sekiranya ditukar sebagai Tabung Pemberhentian Kerja dan 8,000 orang yang terjejas tersebut boleh mendapat bantuan terus RM6,250 seorang. 

“Wang tersebut boleh digunakan untuk mendapat latihan yang sesuai bagi mereka atau dijadikan modal untuk perniagaan online atau mikro,” katanya yang juga mantan Menteri Pengangkutan. 

Beliau turut berharap kerajaan dapat berdialong dan mendengar cadangan daripada kesatuan pekerja dan persatuan yang mewakili sektor tersebut. — Roketkini.com