Berita

Langgar SOP: Pembangkang gesa rujuk Jeffrey Kitingan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Oleh Ghafar NS

Hari ini, sekali lagi ahli parlimen dari pihak kerajaan membuktikan kekebalan mereka daripada segala undang-undang, SOP dan peraturan berkaitan Covid-19.

Kecoh di Parlimen hari ini apabila Ahli Parlimen Keningau, Jeffrey Kitingan didapati menghadiri sidang Dewan Rakyat tanpa menjalani kuarantin wajib 14 hari, sedangkan beliau baharu sahaja pulang dari Sabah semalam.

Susulan itu, ahli-ahli Parlimen dari Sabah menerusi parti Warisan, UPKO, PKR dan DAP menyatakan bantahan terhadap tindakan dwistandard dalam pelaksanaan SOP ini.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin antaranya menggesa agar Jeffrey dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80A.

Katanya Dewan Rakyat perlu memandang serius perbuatan Jeffrey Kitingan yang juga merupakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Tindakan beliau yang tidak menjalani tempoh kuarantin 14 hari seperti yang diarahkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat kepada semua ahli Parlimen dari Sabah mendatangkan risiko penularan Covid-19.

Pada 9 Oktober 2020, ahli-ahli Parlimen Sabah diarahankan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebelum menghadari persidangan Dewan Rakyat. — Roketkini.com