Berita, Rencana

Menteri KPKT tubuh PeKT untuk kepentingan politik?

Oleh Wong Kah Woh

(Ahli Parlimen Ipoh Timor)

Baru tadi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Zuraidah Kamaruddin telah menjawab berkenaan dengan peruntukkan sejumlah RM8.6 juta pada tahun 2021 kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT). Beliau telah mengaitkan PeKT dengan Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan pada Februari 2019.

Beliau menyatakan program-program yang dilaksanakan di bawah Dasar Komuniti Negara dan bagaimana PeKT akan memainkan peranan dalam pelaksanaan program-program tersebut.

Jawapan Menteri KPKT merupakan suatu jawapan yang putar belit dan tidak langsung menyentuh berkenaan dengan isu pokok iaitu kepentingan politik dalam perkara ini.

Dua minggu yang lepas, saya telah menerima jawapan daripada Menteri KPKT yang mana Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta pada tahun 2020 untuk tujuan PeKT di 3 Negeri yang diperintah oleh Pembangkang. Sejumlah 261 ahli PeKT yang melibatkan 46 buah Kerajaan Tempatan telah dilantik.

Sekiranya tujuan utama PeKT adalah untuk membantu dalam pelaksanaan Dasar Komuniti Negara seperti yang didakwa oleh Menteri KPKT, beliau perlu menjawab soalan-soalan pokok seperti berikut yang tidak terjawab:-

(1)         Samaada pelantikan Ahli-Ahli PeKT merupakan lantikan politik semata-mata?

(2)         Samaada KPKT tidak mempunyai keyakinan dan kepercayaan ke atas Kerajaan Tempatan di Negeri-Negeri yang diperintah oleh pihak Pembangkang dalam melaksanakan Dasar Komuniti Negara?

(3)         Samaada KPKT tidak berhasrat untuk melaksanakan program di bawah Dasar Komuniti Negara, atau KPKT berpendapat program-program tersebut adalah tidak perlu di Negeri-Negeri yang diperintah Kerajaan PN, memandangkan tidak ada seorang pun ahli PeKT dilantik?

Jelas, Menteri KPKT hanya cuba memutarbelitkan fakta dalam isu penubuhan PeKT dan cuba untuk melindungi fakta sebenar bahawa ia adalah bertujuan politik semata-mata.

Peruntukkan sebanyak RM8.6 juta kepada PeKT seperti yang dicadangkan dalam Belanjawan 2021 harus ditarik balik dan digunakan untuk tujuan-tujuan lain yang memanfaatkan rakyat. — Roketkini.com