Berita, Rencana

Di saat Muhyiddin pamer kegagalan, Hasni tunjukkan tauladan

Oleh Liew Chin Tong

(Ahli Dewan Negara dan Pengerusi DAP Johor)

Walaupun saya berada di pihak lawan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, saya tidak teragak-agak untuk memuji apabila beliau berhak menerimanya. Hasni telah telah menunjukkan tauladan dalam mentadbir secara dwi-partisan di saat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kebetulan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, kecundang teruk.

Setakat ini, Muhyiddin telah mencuba untuk mendominasi dan menunduk, merenggangkan pihak pembangkang dan sekutunya sendiri sambil hilang arah tentang perlunya mengerahkan seluruh negara untuk menghadapi krisis politik, ekonomi dan kesihatan yang terbesar dalam sejarah negara.

Hasni mempunyai majoriti dua kerusi (29 kepada 27) dalam DUN Johor, di mana Umno mempunyai 16 kerusi, Bersatu 12 kerusi dan seorang bekas Adun PKR yang telah lompat untuk mencukupkan bilangan. Bersatu tentunya tidak gembira dengan hakikat bahawa partinya kini kehilangan jawatan Menteri Besar.

Di peringkat nasional, Muhyiddin membawa bersamanya enam orang wakil rakyat asal Bersatu, 15 yang lompat dari Umno ke Bersatu, dan 10 melalui Azmin Ali dari PKR; manakala Umno mempunyai 39 kerusi. Tetapi Bersatu mengambil jawatan-jawatan menteri senior. Ini menjadikan jumlah sokongan kepada Muhyiddin sebanyak 112 kerusi, berbanding 108 di pihak pembangkang di Parlimen.

Situasi Muhyiddin dan Hasni agak serupa, namun laluan yang mereka pilih untuk meluluskan belanjawan masing-masing dan cara berurusan dengan pembangkang sangat berbeza.

Meski ada hal-hal yang dikatakan Hasni boleh diketepikan sebagai sekadar retorik, sekurang-kurangnya beliau mempunyai retorik yang sesuai dengan masa, sementara Muhyiddin pula enggan melayan sekutu dan pembangkang dengan rasa hormat.

Pilihan Raya Umum 2018 telah merungkai negara satu parti di bawah Umno. ‘Abang Besar’ itu kini seakan lumpuh dengan sekumpulan pemimpinnya didakwa dengan pelbagai kesalahan jenayah, sambil berdepan cubaan Bersatu dan Muhyiddin untuk memecah-belah dan meminggirkan parti itu.

Tiada parti politik mampu mendominasi senario ini secara bersendirian.

Setiap parti mempunyai kekuatan yang setara. Bagi memastikan kestabilan dapat dicapai dan tiada pihak boleh berbuat sesuka hati, masyarakat memerlukan kepimpinan.

Hasni melihat pembangkang sebagai rakan strategik dalam pentadbiran, yang bertentangan dengan idea lama Umno untuk mendominasi dan menghancurkan pembangkang.

Dalam tempoh singkat sebagai pembangkang pada Mei 2018 hingga Februari 2020, Umno begitu destruktif dan bersifat menghalang, meniup api perkauman di mana-mana dengan harapan semuanya akan hangus terbakar dan keadaan kembali pulih seperti sebelumnya. Di peringkat nasional, Umno juga tidak mengambil peluang untuk membersihkan dirinya daripada pemimpin kleptokrat seperti Najib Razak dan Zahid Hamidi.

Kini masanya untuk Umno, Bersatu dan semua parti-parti politik menyedari bahawa tidak mungkin ada satu parti dominan dan Malaysia hari ini adalah sebuah demokrasi 50:50. Malah beberapa pilihan raya lagi akan masih menghasilkan keputusan 50:50.

Kerajaan mesti bersedia untuk berinteraksi dengan pihak pembangkang secara konstruktif dan melayani pembangkang dengan rasa hormat kerana kerajaan hari ini boleh jadi pembangkang pada keesokan hari.

Pihak pembangkang pula perlu bergerak maju menjadi lebih daripada sekadar pergerakan melawan sepertimana yang dilakukan Umno sepanjang 22 bulan sebagai pembangkang. Sebaliknya, pihak pembangkang perlu tampil sebagai kerajaan menunggu dan menggesa kerajaan semasa untuk memikirkan tentang polisi jangka panjang serta bertindak secara dwi-partisan seboleh mungkin, demi manfaat rakyat terbanyak.

Ketika Pakatan Harapan mentadbir Johor, pihak pembangkang ketika itu diberikan peruntukan kawasan sebanyak RM50,000 buat pertama kali dalam sejarah. Anggota bangku belakang (backbencher) kerajaan menerima RM300,000. Hasni telah menambah peruntukan pembangkang kepada RM150,000 sementara memberi bayaran ‘one-off’ RM50,000 dana khas Covid kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti.

Tambahan kepada itu, Hasni turut berjanji untuk mendapatkan izin kerajaan pusat untuk meminda peraturan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah supaya wakil rakyat pembangkang dilibatkan dalam mesyuarat bulanan. Kita berharap kedua-dua kerajaan negeri dan pusat dapat memperlihatkan iltizam politik untuk menunaikan janji tersebut secepat mungkin.

Hasni juga bersetuju membentuk jawatankuasa pilihan di peringkat DUN. Kita ingin melihat jawatankuasa ini dibentuk pada sidang seterusnya dan diberi sumber dan petugas secukupnya bagi memainkan peranan secara bermakna.

Bolehkah kita mempercayai Hasni? Adakah beliau melakukan ini semua hanya untuk meluluskan belanjawannya? Adakah beliau akan mengadakan pilihan raya mengejut apabila mempunyai peluang untuk memulihkan semula kegemilangan Umno, justeru mengakibatkan semua janji-janji ini menjadi sekadar cebisan kertas?

Tiada siapa yang tahu. Tapi apa yang saya mahu sebut ialah Hasni kini bersedia menukar naratif dan menyediakan kerangka dwi-partisan yang baharu. Kita tidak melihat kepimpinan ini di pihak kerajaan persekutuan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di saat-saat sukar ini, pendekatan dwi-partisan adalah amat penting dalam merangka dasar serta memberikan negara dan rakyat peluang yang lebih baik dalam berhadapan krisis tiga serangkai sekali dalam seabad ini.

Sidang Parlimen ke-14 berakhir pada 16 Julai 2023. Khabar angin mengatakan Muhyiddin akan mengadakan pilihan raya sebelum Ramadan 2021. Pendekatan kerajaan Muhyiddin setakat ini ialah untuk mendominasi rakan sekutu dan parti pembangkang. Semakin galak Muhyiddin meminggirkan semua pihak, semakin tinggi kemungkinan nasibnya berakhir seperti mantan menteri besar Perak, Faizal Azumu.

Daripada mencuba mengadakan pilihan raya mengejut, Muhyiddin patut mula mentadbir secara dwi-partisan demi kepentingan negara yang masih tersekat dalam krisis ini. — Roketkini.com