Berita, Rencana

Kerajaan digesa tawar bantuan kewangan kepada industri pelancongan

Ucapan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Di Parlimen Pada 8.12.2020

Industri pelancongan adalah mangsa terbesar krisis ketidakstabilan politik, kemelesetan ekonomi dan bencana kesihatan awam COVID-19 di Malaysia. Kegagalan menangani tiga krisis berganda ini telah memalukan Malaysia kerana menjadi negara ASEAN pertama yang menerima penurunan penarafan kredit negara oleh agensi penarafan Fitch, iaitu buat pertama kali sejak Krisis Kewangan Asia 1997/98.

Kesan COVID-19 terhadap industri pelancongan dapat dibuktikan dengan penurunan kedatangan pelancong sebanyak 78.6% antara Januari dan September tahun ini iaitu hanya 4.3 juta kedatangan pelancong, berbanding 20.1 juta pada tempoh yang sama pada tahun 2019. Jumlah kedatangan pelancong yang lebih rendah juga menunjukkan penurunan terimaan daripada pelancongan sebanyak 80.9% kepada RM12.6 bilion untuk 9 bulan pertama tahun ini berbanding RM66.1 bilion untuk tempoh yang sama pada tahun 2019.

Kerugian pendapatan pelancongan yang mengejutkan sebanyak RM54 bilion untuk 9 bulan pertama tahun ini telah melumpuhkan industri pelancongan dengan mengakibatkan kehilangan pekerjaan berikutan penutupan bukan sahaja hotel, agensi pelancongan dan pengendali tetapi juga mengancam industri penerbangan. Dengan lonjakan jumlah jangkitan COVID-19 yang mencapai rekod 1,600 semalam walaupun dengan pelonggaran perintah sekatan, industri pelancongan akan tetap bergantung pada “talian hayat”.

Krisis Covid-19 Malaysia berada dalam keadaan yang lebih buruk berbanding di Indonesia, 2.234 kes per juta penduduk dilaporkan di Malaysia berbanding 2.096 kes per juta di Indonesia. Jumlah kes Covid-19 (72,694) dijangka melebihi jumlah 86,619 kes di China dalam 10 hari akan datang.

Malangnya, kerajaan Persekutuan PN tiada langkah bantuan kewangan mencukupi untuk mengimbangi kerugian RM54 bilion dalam terimaan pelancongan. Pemberian kewangan dan kredit pinjaman tidak mencukupi, malah keluhan paling besar adalah kesukaran mendapatkan pinjaman daripada pihak bank.

Namun kerajaan terus mengambil pendekatan tidak menerima kenyataan dan mengelak kebenaran dengan meramalkan bahawa purata penghunian hotel untuk tahun 2020 akan menjadi 61.1% dan 58.4% pada tahun 2021. Unjuran palsu dan tidak realistik seperti ini tidak membantu industri pelancongan untuk terus bertahan.

Kerajaan harus menawarkan bantuan kewangan yang besar kepada industri pelancongan untuk mengimbangi kerugian dalam pendapatan sebanyak RM54 bilion untuk 9 bulan pertama tahun 2020 dan membetulkan unjuran palsu 61.1% dan 58.4% kadar penghunian hotel untuk tahun 2020 dan 2021. Pada masa yang sama pihak bank tidak patut menyusahkan perniagaan untuk mendapatkan pinjaman. — Roketkini.com