Berita, Rencana

DAP pegang teguh prinsip, tidak akan kerjasama dengan kleptokrat

Kenyataan Media Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Parlimen pada hari Khamis, 10 Disember 2020:

DAP akan terus berpegang teguh dengan prinsip kami dan tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat tetapi kita mesti terbuka dan fleksibel untuk bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang berintegriti, tanpa mengira kaum, agama atau politik, untuk membina sebuah Malaysia yang bersatu padu, adil, makmur dan hebat

Krisis politik di Perak telah berakhir dengan pelantikan Menteri Besar baharu dari UMNO.

Apakah pengajaran yang dapat diambil dari krisis politik Perak yang berlangsung selama enam hari ini?

Pertama, krisis Perak ini mungkin merupakan krisis politik terakhir pada tahun 2020, yang telah menyaksikan banyak krisis politik, bermula dengan Langkah Sheraton pada bulan Februari tahun ini yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan yang sah dan menggantikannya dengan pemerintahan pintu belakang Perikatan Nasional yang tidak sah, kepada Pilihan Raya Negeri Sabah yang mencetuskan gelombang ketiga wabak Covid-19 yang masih belum dapat disurutkan, kemudiannya disusuli dengan kontroversi pengundian Belanjawan 2021 di Parlimen pada 26 November, dan akhirnya, krisis politik di Perak.

Tetapi kita harus kembali kepada Pilihan Raya Umum ke-14 yang bersejarah pada 9 Mei 2018 yang menggulingkan pemerintahan Barisan Nasional yang kelihatan kebal dan rejim kleptokrat Perdana Menteri Najib Razak.

Selepas 9 Mei 2018, kepimpinan UMNO telah obses dengan hanya satu objektif — untuk memulihkan hegemoni UMNO dalam politik Malaysia dengan menyalah-gunakan era maklumat untuk melancarkan kempen fitnah dan berita palsu yang berbahaya dan beracun untuk menjadikan orang Melayu di negara ini percaya bahawa hak, kedudukan, dan masa depan mereka dipertaruhkan kerana DAP berkuasa di Putrajaya.

Kempen ini hanyalah fitnah semata-mata — bahawa kononnya DAP adalah anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja dan bahawa DAP adalah kuasa yang mengawal kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sedangkan kerajaan Pakatan Harapan adalah satu kerajaan gabungan yang berteraskan prinsip konsensus.

UMNO telah bekerjasama dengan PAS untuk memperluaskan kempen beracunnya dengan menggunakan politik perkauman dan keagamaan, kedua-dua parti ini berjaya akhir Disember 2018 apabila mereka berjaya menunggang cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan menghasut dan menimbulkan kerisauan orang Melayu sedangkan DAP tidak tahu apa-apa mengenai cadangan ratifikasi ICERD ini.

DAP telah dimomokkan dan digambarkan sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja kerana kononnya menerajui usaha ratifikasi ICERD, sedangkan semua itu adalah kerja Menteri Luar Negeri ketika itu, Saifuddin Abdullah.

Selama 32 bulan, propaganda penipuan dan fitnah UMNO dan PAS — yang disertai oleh Bersatu dalam 10 bulan yang terakhir — dirancang untuk mencapai kemuncaknya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk menghasut perasaan dan kemarahan orang Melayu bagi membolehkan UMNO untuk mengembalikan status hegemoninya, yang pastinya akan menghumban Malaysia ke arah sebuah negara yang gagal, sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi.

Perkara ini akan menyebabkan masyarakat majmuk di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, bahasa, budaya dan agama semakin terpisah jauh dan mungkin akan menyebabkan mustahil untuk rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama, dan politik untuk bersatu memandangkan negara kita akan berada dalam trajektori untuk menjadi sebuah negara yang gagal, sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi. 

Hanya semalam, Pengarah Urusan dan Ketua Bahagian Ekuti bank pelaburan antarabangsa Credit Suisse Malaysia, Stephen Hagger memberikan amaran bahawa Malaysia akan mengalami kesusahan sekiranya pemimpin dan tokoh politik yang korup terus mampu berjalan bebas daripada tuduhan rasuah.

Hagger mengatakan penurunan taraf kredit negara baru-baru ini oleh agensi penilaian kredit Amerika Syarikat Fitch Ratings adalah contoh perkara ini. 

Bekas Pengerusi CIMB dan abang kepada mantan Perdana Menteri, Dato Sri Nazir Razak berkata dalam Ceramah Kepimpinan Alumni Chevening baru-baru ini:

“Sistem ini (Sistem Dasar Ekonomi Baharu yang dirangka pada tahun 1970-an) tidak lagi sesuai untuk tujuannya dan Malaysia sangat memerlukan sistem baharu. Saya akan menyerahkan kepada para sejarawan untuk berdebat mengenai bila dan mengapa sistem ini merosot. Tetapi sejak Krisis Kewangan Asia pada akhir tahun 1990-an kita mengalami kelembapan ekonomi, semakin berpecah sebagai sebuah komuniti, dan terus-menerus kehilangan bakat terbaik kita, dan ketinggalan berbanding dengan negara-negara yang baru maju seperti Indonesia dan Vietnam dalam mendapatkan pelaburan asing. Revolusi Perindustrian ke-4 hanya akan menggandakan masalah ini yang tidak memanfaatkan bakat terbaik mereka, menyukarkan usaha untuk menarik pelaburan berkualiti yang hanya akan memenuhi kepentingan peribadi dan status quo: Di mana inovasi dan keusahawanan disekat.”

Pagi ini, Sultan Perak bertitah bahawa mengangkat sumpah Menteri Besar Perak ketiga sejak Pilihan Raya Umum ke-14 adalah cerminan kegagalan dalam Dewan Undangan Negeri Perak.

Baginda Sultan mengingatkan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri bahawa mereka dipilih hanya kerana kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

Titah Baginda, rakyat telah memilih mereka untuk menjalankan amanah untuk berkhidmat dan meningkatkan ekonomi serta memenuhi keperluan sosial mereka.

“Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik COVID-19,”

“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud,”

Malaysia berada di persimpangan jalan.

Sekiranya kita kekal dalam trajektori menjadi kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara yang gagal, apakah nasib negara kita menjelang tahun 2050?

Mampukah negara kita, pada tahun 2050, mengeluarkan kita daripada trajektori sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi, dan sebuah negara gagal?

Enam puluh tiga tahun yang lalu, ketika saya berumur 16 tahun, saya menulis di majalah kelas di sekolah:

“Kita sebagai para belia masa kini harus mempersiapkan diri kita untuk ‘memimpin dengan berkhidmat’… Peranan para belia di Tanah Melayu Merdeka kini lebih besar dan menjadi cabaran yang berat untuk bahu para belia generasi yang tidak berpengalaman ini. Kita akan menjadi bahu merdeka pertama yang benar-benar memikul tanggungjawab ini. Mari kita bekerja dengan semangat dan kemahuan yang lebih besar, supaya bendera kita tidak berkibar pada separuh tiang. Untuk mencapai ini, kita harus ingat bahawa kerjasama antara pelbagai kaum sangat penting, mencari titik persamaan, supaya kita disemai dengan semangat toleransi, kerjasama dan kesetiaan. Oleh itu, marilah kita terus hidup bersama dalam persaudaraan dan keharmonian yang mesra.”

DAP ditubuhkan 54 tahun yang lalu untuk menjadikan Malaysia berjaya sebagai negara bertaraf dunia dalam pelbagai bidang yang diterokai manusia, bukannya untuk menentang mana-mana kaum, bahasa, agama atau budaya. Kami bertekad untuk menjayakan misi ini.

Dengan tujuan ini, DAP perlu sentiasa setia dan berpegang teguh pada prinsip kita, supaya kita kekal sebagai satu parti politik yang berprinsip.

Kita tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat dan mereka yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan peribadi tetapi kita mesti terbuka dan fleksibel untuk bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang berintegriti, tanpa mengira kaum, agama atau politik, untuk membina sebuah Malaysia yang bersatu padu, adil, makmur dan hebat. — Roketkini.com